mutakhir

Atasi segera hak kewarganegaraan

Batu Caves: Masalah hak kewarganegaraan segelintir kaum India di negara ini akan diatasi segera sebelum awal tahun hadapan.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, beliau memandang serius perkara ini kerana didapati hampir 15,000 kaum India di negara ini khususnya yang lahir sebelum kemerdekaan belum mendapat taraf kewarganegaraan.

Katanya, usaha membantu golongan itu dilakukan sejak enam tahun lalu dan hasilnya 7,000 memiliki MyKad menerusi pelbagai usaha dijalankan kerajaan antaranya program MyDaftar serta kempen Red IC di seluruh negara.

“Baru-baru ini kami menjalankan kempen untuk mendaftarkan kad pengenalan di seluruh negara, jadi proses itu akan diteruskan.

“Secara muktamad kami akan cari penyelesaian mengenai isu ini dan ia akan diselesaikan serta perbincangan akan dibuat bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN)... Sebelum akhir tahun isu ini akan diselesaikan,” katanya pada sidang media program Kalvi Yathirai ke-22, di sini, semalam.

Kelmarin Perdana Menteri dalam ucaptama merasmikan Ulang Tahun MIC ke-70 berkata, kerajaan akan menyelesaikan masalah hak kewarganegaraan membabitkan segelintir kaum India yang lahir sebelum merdeka.

Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu perlu diberi keutamaan memandangkan golongan berkenaan banyak berkorban untuk negara ini.

Perdana Menteri menjelaskan, walaupun jumlah kaum India di negara ini hanya meliputi 7.3 peratus atau dua juta penduduk, mereka dianggap sebagai satu komuniti yang menjadi rakan setia kepada BN.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata, pihaknya berharap kerajaan memperhalusi proses pendaftaran warganegara masyarakat India dengan mengurangkan kerenah birokrasi bagi mempercepatkan proses berkenaan.

“Ramai yang berulang kali memohon namun gagal disebabkan kerenah birokrasi. Saya akui masalah utama adalah dokumentasi di mana rekod kelahiran mereka hilang. Jika kerenah birokrasi dikurangkan, kita sasarkan isu ini selesai dalam tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2016 @ 8:13am
d