mutakhir

Pengajaran berguna buat Puteri UMNO

Kota Bharu: “Diharapkan apa yang berlaku ini menjadi pengajaran berguna kepada (Pergerakan) Puteri (UMNO),” kata Setiausaha UMNO Bahagian Kota Bharu, Zulkifli Abd Ghani.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai video tarian gelek yang dipersembahkan sempena perasmian Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian itu di sebuah hotel, di sini, malam Khamis lalu.

Video itu menjadi viral di laman sosial Facebook apabila dikecam netizen kerana dianggap tidak bersesuaian memandangkan tarian terbabit yang sinonim dengan aksi mengghairahkan.

Zulkifli berkata, Puteri UMNO Kota Bharu mengakui kesilapan mereka menyajikan persembahan itu sebagai pembuka acara dan permohonan maaf secara terbuka dilakukan.

“Perkara sudah berlaku dan mereka mengakui kesilapan. Mereka berjanji lebih berhati-hati memilih persembahan selepas ini.

“Kami harap perkara begini tidak berlaku lagi kerana tidak mahu menimbulkan tanggapan negatif umum terhadap parti,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Zulkifli yang turut berada di majlis itu mengakui terkejut apabila disajikan dengan persembahan berkenaan kerana kebiasaannya mereka mengutamakan tarian tradisional Melayu sebagai pembuka acara.

“Tetamu lain juga terkejut, tapi nak kata apa lagi sebab benda sudah berlaku. Cuma UMNO Bahagian berharap ia tidak berulang lagi,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Ab Rahman hadir merasmikan majlis.

Disiarkan pada: August 8, 2016 @ 9:19am
d