mutakhir

Iktibar hilang kuasa

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Bera: UMNO perlu segera menyelesaikan masalah dalaman parti jika mahu memastikan ia kekal memerintah negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli dan pemimpin parti perlu mengambil iktibar daripada kejatuhan kuasa empayar dunia akibat masalah perpecahan dalaman.

Beliau berkata, sejarah membuktikan masalah itu menyebabkan kuasa besar seperti empayar Uthmaniyah dan empayar Abbasiyah akhirnya berpecah menjadi negara baharu yang lebih kecil.

Katanya, ia juga menjadi punca kuasa besar imperialis Barat seperti Britain dan Kesatuan Soviet yang pernah menjajah sebahagian besar negara dunia kehilangan kuasa.

“Kita jangan menyempitkan minda, cukuplah, belajarlah daripada pengalaman dunia.

“Selesaikan masalah dalaman, jangan layan perasaan marah dan kekecewaan, cukup-cukuplah apa yang berlaku dalam UMNO, sebab terlalu mahal harganya jika kita hilang kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2016, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Bera yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad Zahid berkata, ahli UMNO perlu menghindarkan budaya terlalu selesa atau ‘culture of complacent’ dengan menganggap parti itu memegang kuasa sampai bila-bila.

Beliau berkata, mereka harus menilai sejarah politik di Kelantan apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang akibat masalah dalaman dan ia kekal dalam pemerintahan pembangkang sehingga kini.

Katanya, BN juga nyaris kehilangan kuasa di Perak apabila satu ketika pernah ditadbir pakatan pembangkang apabila tewas dan kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Disiarkan pada: August 8, 2016 @ 9:23am
d