mutakhir

Air mata gugur di Quba'a

Selain Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi, bersolat di Masjid Quba’a turut menjadi impian setiap umat Islam.

Ini kerana ganjaran pahala bersolat di sini menyamai pahala menunaikan umrah bagi sesiapa yang berwuduk di tempat tinggalnya.

Semalam, kumpulan jemaah haji Malaysia dibawa ke masjid pertama dibina Rasulullah itu dalam program ziarah luar yang diatur Lembaga Tabung Haji (TH).

Peneroka dari FELDA Jengka, Pahang, Ali Malik, 70, menyifatkan ia adalah kesempatan yang jarang diperoleh umat Islam dan tidak mahu melepaskan peluang menunaikan solat sunat di masjid bersejarah itu.

“Syukur sangat dapat jejak kaki ke sini dan insya-Allah jika dipanjangkan usia saya mahu ke sini lagi,” katanya yang menunggu 11 tahun untuk menunaikan fardu haji.

Katanya, dia puas kerana hasil titik peluh mengumpul wang mengusahakan kebun sawit membolehkannya menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Salbiah Utoh, 64, dari Perak pula tidak dapat menahan sebak apabila kali pertama mendapat peluang bersolat di masjid berkenaan.

“Tak tahu nak gambarkan perasaan bersolat di sini. Alhamdulillah sebab Allah bawa saya ke sini.

“Saya gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk berdoa terhadap diri sendiri dan anak cucu,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Selain Masjid Quba’a jemaah turut dibawa melawat Dataran Bukit Uhud yang menjadi medan pertempuran dalam Perang Uhud pada tahun ketiga Hijrah.

Disiarkan pada: August 8, 2016 @ 9:29am
d