mutakhir

Azfar pulang selama-lamanya

Kuala Pilah: “Segala keperluan untuk arwah seperti tempat tidur dan alat bantuan pernafasan sudah disediakan. Namun, hasrat tidak kesampaian apabila arwah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Abd Wahab Alias, 53, bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki yang mati di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, semalam, selepas lebih tiga bulan menerima rawatan akibat jangkitan virus Japanese Encephalitis (JE).

Mohd Azfar Mohd Shah, 6, sepatutnya pulang ke rumahnya di Kampung Dioh Tengah semalam selepas keadaannya beransur pulih.

Abdul Wahab berkata, arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada 20 Mei lalu

sebelum dipindahkan ke HTAN 21 Julai lalu kerana tahap kesihatannya beransur pulih namun masih menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Arwah ditempatkan di wad kanak-kanak selepas pasukan perubatan mendapati dia menunjukkan perkembangan baik. Arwah memang rapat dengan saya dan apabila doktor maklumkan dia dibenarkan pindah ke hospital ini (HTAN), kami sekeluarga gembira.

“Saya difahamkan pegawai perubatan HTAN membenarkan arwah pulang ke rumahnya di Kampung Dioh Tengah hari ini (semalam) tetapi memandangkan dia demam sejak dua hari lalu, hasrat itu dibatalkan,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Dioh Tengah, semalam.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa enggan ditemuramah kerana masih bersedih atas kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu.

Jenazah Mohd Azfar selamat dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dioh Tengah, jam 2.45 petang.

Disiarkan pada: August 9, 2016 @ 10:10am
d