mutakhir

11 pesalah trafik didenda RM16,500

Alor Gajah: Seramai 11 lagi pesalah trafik yang menggunakan lorong kecemasan di KM222 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Mei lalu, didenda RM16,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, semalam.

Hukuman denda RM1,500 bagi setiap pesalah trafik itu dijatuhi Majistret Nor Azizah Yusof selepas semua pesalah mengaku salah atas setiap pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan berasingan, 10 lelaki dan seorang wanita berusia 25 hingga 62 tahun itu didakwa memandu kenderaan di lorong kecemasan di KM222 Lebuhraya Utara Selatan arah utara jam 5 petang, 22 Mei lalu.

Justeru, mereka didakwa mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1959 yang memperuntukkan denda hingga RM2,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-dua sekali.

Pegawai Pendakwa JPJ Yusof Hassan memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebelum Nor Azizah memerintahkan setiap tertuduh membayar denda RM1,500 seorang atau berdepan hukuman penjara satu atau dua bulan jika gagal jelaskan denda itu.

Pendakwaan semalam adalah yang ketiga membabitkan kesalahan menggunakan lorong kecemasan yang mendapat perhatian umum 22 Mei lalu.

Disiarkan pada: August 9, 2016 @ 10:17am
d