mutakhir

Pelajar disangka pemandu Uber diserang drebar teksi

Kuala Lumpur: “Mereka (pemandu teksi) menyangka saya pemandu Uber. Akibatnya saya diserang dan dibaling telur secara mendadak,” kata penuntut universiti, Chan Sau Mun, 20.

Kejadian berlaku jam 10 pagi Rabu lalu, ketika dia berada di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, di sini, untuk mengambil rakannya.

Chan berkata, dia memberhentikan kereta Perodua Myvi di kawasan pandu lalu di stesen berkenaan untuk menjemput rakannya sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Paradigm Mall di sini.

“Ketika kejadian, ada Perodua Myvi di hadapan saya turut mengambil penumpang. Tiba-tiba, muncul dua lelaki berkemeja putih dipercayai pemandu teksi membaling telur ke cermin kereta itu.

“Sebaik rakan saya masuk ke dalam kereta, dua lelaki itu mengalih sasaran sebelum membaling telur ke arah kereta kami selain mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya, semalam.

Rakannya yang terkejut dengan tindakan itu keluar dari kenderaan dan bertanyakan punca tindakan penyerang.

“Saya dengar perang mulut antara rakan saya dan pemandu teksi itu yang menuduh saya pemandu syarikat Uber.

“Mereka mahu menyerang saya kerana menuduh saya mencuri penumpang. Walaupun rakan saya membuat penjelasan namun mereka berdegil sebelum beredar dari lokasi kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, tiada kerosakan dialami akibat insiden itu menyebabkan dia dan rakannya membuat keputusan tidak membuat laporan polis.

“Bagi saya, tindakan ini tidak sepatutnya terjadi kerana mereka menyerang orang salah,” katanya.

Disiarkan pada: August 9, 2016 @ 10:33am
d