mutakhir

Parti baru sasar tarik ahli UMNO

Kuala Lumpur: Semua ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti diberikan penerangan lengkap berkaitan isu semasa bagi mengelakkan mereka melompat parti.

Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata, parti baharu yang bakal ditubuhkan diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan dinaungi bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) itu mahu menggunakan pengaruh mereka menarik ahli UMNO.

“Sasaran mereka ialah ahli UMNO jadi kita kena nyatakan bahawa parti itu adalah parti lawan dan ahli mesti diberi penerangan supaya tiada sokongan daripada mereka.

“Sangat penting bagi UMNO memberikan penerangan khusus selain isu yang dibangkitkan perlu diperjelaskan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN, semalam.

Turut hadir, Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau mengulas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu menubuhkan parti baharu dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menggantikan UMNO sebagai parti orang Melayu dan Bumiputera.

Semalam, Muhyiddin menghantar borang permohonan parti baharu itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, parti itu sudah mengenal pasti beberapa formula baru yang berjaya diguna pakai pada Plihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar serta Sungai Besar, baru-baru ini.

Disiarkan pada: August 10, 2016 @ 8:59am
d