mutakhir

Dakwaan bercanggah

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan Selangor didesak menyelesaikan segera isu penukaran status tanah pertanian kepada kawasan pembangunan di kawasan Paya Indah Wetland, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat yang menimbulkan kontroversi kerana ia membabitkan isu alam sekitar dan integriti pentadbiran negeri itu.

Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang mendedahkan isu itu sebelum ini berkata, status tanah itu adalah sah sebagai tanah pertanian dan berada dalam kawasan Paya Indah Wetland seperti yang dinyatakan dalam Minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ketika menolak satu permohonan untuk meminda kategori tanah itu pada Februari 2014.

Katanya, ia bercanggah dengan dakwaan dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri Elizabeth Wong sebelum ini bahawa ia bukan di bawah kawasan Paya Indah Wetland yang diwartakan Jabatan Perhilitan sebagai Rizab Tanah Paya di bawah Kanun Tanah Negara.

“Bukan saya yang nyatakan bahawa ini adalah kawasan hijau, sebaliknya ia disahkan sendiri menerusi MMKN pada Februari 2014 ketika membuat keputusan menolak satu permohonan untuk meminda status tanah itu.

“Ia sudah disebut dengan jelas dan kerajaan negeri perlu tukar semula status tanah kepada asal iaitu tanah pertanian. Namun, jika kerja membersihkan tanah sudah dilakukan, sudah tidak ada makna lagi kerana mana mungkin kita dapat menggantikan pokok yang berusia 100 tahun,” katanya pada sidang media, semalam.

Badrul Hisham atau Chegubard, dalam satu kenyataan terbuka sebelum ini, mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meluluskan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan pembangunan di kawasan Paya Indah Wetland.

Bagaimanapun, sehingga kini Azmin mengambil sikap berdiam diri apabila didakwa masih belum menjawab isu yang ditimbulkan selain gagal membuat penjelasan kepada rakyat mengenai ‘pembangunan’ yang dirancang di atas tanah terbabit.

Selain itu, Badrul Hisham berkata, beliau menjangkakan Azmin akan terus membisu dan mengelak daripada memberi penjelasan kepada rakyat, tetapi pihaknya akan terus membuat lebih banyak pendedahan termasuk urusan penjualan tanah lot 68054 kepada syarikat pembangunan.

Disiarkan pada: August 10, 2016 @ 9:03am
d