mutakhir

Ibu Asnawi rahsia derita usus bengkak demi SUKMA

Alor Gajah: Seorang wanita, Noriah Suboh, 54, dianggap sebagai ibu gigih apabila masih mahu bekerja sebagai tukang cuci walaupun menderita masalah usus membengkak dan terkeluar sejak 10 tahun lalu.

Lebih mengharukan ibu kepada atlet olahraga Melaka, Asnawi Hashim, 16, itu turut merahsiakan pembedahan pada usus yang dijalaninya di Hospital Melaka, 28 Julai lalu kerana tidak mahu mengganggu tumpuan anaknya mewakili negeri ini dalam acara 4x100 meter pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 di Sarawak, baru-baru ini.

Baginya, kejayaan anak bongsu daripada tiga beradik itu merangkul emas bersama atlet olahraga Melaka lain termasuk Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abd Manap melegakan rasa sakit selepas dia selesai menjalani pembedahan.

Malah, wanita itu hanya berhenti daripada bekerja sebagai tukang cuci, Julai lalu selepas doktor melarangnya daripada melakukan kerja berat atau masalah ususnya mungkin bertambah serius.

“Ketika anak beraksi di balapan, saya pula berada di bilik pembedahan bagi proses memotong usus di Hospital Melaka.

“Asnawi langsung tidak mengetahui perkara itu kerana saya tidak mahu dia bimbang hingga mengganggu tumpuannya.

“Saya hanya mengetahui berita kejayaan anak dan rakan-rakannya selepas dihubungi Asnawi pada lewat petang hari sama. Ketika itu saya baru selesai menjalani pembedahan,” katanya di rumahnya di Kampung Tengah Melekek Luar, di sini, kelmarin.

Terdahulu, wanita gigih itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri Taboh Naning Datuk Latipah Omar bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menyerahkan sumbangan kerusi roda.

Menceritakan masalah kesihatannya, Noriah berkata, dia kerap mengalami sakit perut pada waktu malam, namun mengabaikannya dan terus bekerja sebagai tukang cuci.

Disiarkan pada: August 10, 2016 @ 9:07am
d