mutakhir

Selamat tinggal kota Nabi

Madinah: Semalam genap 12 hari pasukan petugas media bagi musim haji 2016 berada di sini.

Selepas ziarah wada’ pada tengah hari, semua petugas terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kota penuh barokah ini untuk ke fasa seterusnya di Makkah.

Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Madinah seperti penulis, pengalaman berada di sini cukup menginsafkan dan banyak perkara baru yang dipelajari.

Program yang disusun Lembaga Tabung Haji (TH) memberi gambaran jelas mengenai proses ibadat haji selain cabaran yang perlu dihadapi jemaah.

Pengalaman bersolat di Masjid Nabawi adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Berada di dalamnya pun sudah cukup mendamaikan apatah lagi jika menadah doa di Ar-Raudah, tempat yang paling mustajab doa seseorang umat Muslim.

Selain di Makkah, di sinilah tempat bersatunya saudara seIslam di seluruh dunia.

Kesempatan mengadakan ziarah ke tempat bersejarah di sekitar Madinah dan melihat sendiri lokasi berlakunya insiden yang terdapat dalam sirah Nabi seperti Dataran Bukit Uhud, Masjid Quba’a dan Masjid Qiblatain dapat menyelami cabaran hidup Rasulullah dan para sahabat dalam mengembang dan mempertahankan syiar Islam.

Jika mahu mendapat gambaran lebih tepat mengenai kisah perjalanan hidup Rasulullah datanglah ke Muzium Dar Al-Madinah dan Muzium Al-Madinah Al-Munawarah. Semuanya akan diterangkan dengan terperinci lengkap dengan model dan miniatur.

Madinah tempat penghasilan antara kurma terbaik dunia. Kurma Ajwa kegemaran Rasulullah banyak dihasilkan di sini. Ladang kurma di pinggir kota ini bersedia menerima pengunjung yang mahu menikmati kurma segar dan membawa pulang sebagai buah tangan.

TH yang menerima pujian banyak pihak di peringkat antarabangsa cuba memberikan khidmat terbaik bagi memastikan jemaah dapat beribadat dengan selesa.

Tiga hotel yang terletak kira-kira 100 meter dari Masjid Nabawi memudahkan jemaah menunaikan solat lima waktu serta solat sunat.

Makanan enak dan berkhasiat, layanan petugas yang ramah, kemudahan pelbagai urusan dan rawatan serta bermacam lagi perkhidmatan lain sukar ditemui di mana-mana negara seperti yang disediakan pihak TH.

Setakat artikel ini ditulis seramai 5,411 bakal jemaah sudah tiba di sini manakala 482 lagi sedang dalam perjalanan menaiki penerbangan KT12.

Alhamdulillah walaupun terpaksa berkongsi empat atau lima orang sebilik selain perlu menunggu giliran untuk menggunakan lif, jemaah nampaknya faham dan ‘sporting’.

Madinah kota yang tidak pernah tidur. Masjid Nabawi tidak pernah sunyi daripada alunan doa dan ayat suci al-Quran.

Kotanya bersih, keramahan peniaganya dan kepelbagaian makanannya adalah sesuatu yang indah untuk dikenang.

Tiada siapa yang berkata tidak mahu ke sini lagi apabila sudah menjejakkan kaki ke kota yang diasaskan Rasulullah ini.

Doakan semoga Allah SWT bawa kita ke sini lagi. Amin.

Disiarkan pada: August 10, 2016 @ 9:56am
d