mutakhir

Pegang pun dah salah

Oleh Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: Pengguna jalan raya yang didapati menggunakan aplikasi permainan Pokemon Go atau apa juga aplikasi lain sambil memegang telefon bimbit ketika ketika memandu walaupun memberhentikan kenderaan di lampu isyarat tetap akan dikenakan tindakan.

Pengarah Penguat kuasa JPJ Datuk V Valluvan Veloo berkata, hal itu berikutan kesalahan berkenaan turut termaktub dalam undang-undang mengikut Kaedah 17 A, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Sekiranya didapati mereka (pemandu) memegang atau menggunakan telefon bimbit, itu satu kesalahan dan kita akan mengeluarkan saman.

“Kita memang peka terhadap isu ini dan memberi amaran kepada mana-mana pengguna jalan raya sekiranya mereka menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tindakan saman dengan denda sehingga RM1,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-dua sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kadet JPJ peringkat negeri Kedah di sini, semalam.

Katanya, tindakan pengguna jalan raya yang begitu leka dengan aplikasi di telefon bimbit sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan tetap dianggap satu kesalahan.

“Kalau letak di depan dan pemandu terlalu asyik dengan aplikasi itu, itu tidak betul.

“Jadi saya nasihatkan mereka berhati-hati dan sekiranya didapati melakukan kesalahan ini, kita akan ambil tindakan kerana mereka mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2016 @ 9:58am
d