mutakhir

Kenang perwira sejati

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Tiada makna Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti, jika generasi muda tidak mengetahui sejarah kesusahan dan keperitan yang terpaksa dilalui pejuang negara ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Justeru, untuk menyemarak rasa kecintaan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, di sini menampilkan empat wira yang banyak berjasa untuk kemerdekaan negara, namun tidak ‘popular’ dalam kalangan generasi muda.

Wira itu adalah Leftenan Adnan Saidi (pertempuran Bukit Candu), Kanang Anak Langkau (menentang komunis), Sarjan Jamil Mohd Shah (anggota polis terbabit peristiwa Bukit Kepong) dan Asisten Superintendan Mohd Zabri Abdul Hamid (Komando 69).

Mereka ditampilkan dalam bentuk sketsa lakonan pelajar sekolah itu untuk dipertontonkan kepada 1,094 pelajar dan 94 orang guru serta warga sekolah.

Pengetuanya, Jamari Othman berkata, mereka sengaja memilih tema menceritakan kisah keberanian empat perwira itu untuk dikongsi bersama warga sekolah sempena bulan kemerdekaan.

“Jadi untuk sambutan hari kemerdekaan hari ini (semalam) pihak sekolah memilih untuk menceritakan kepada pelajar empat orang wira negara yang terkorban ketika mempertahankan negara.

“Siapa kita tanpa generasi terdahulu, jadi pada majlis ini, kita susur galurkan bagaimana Leftenan Adnan bersama 42 anggota mampu membunuh lebih 800 orang, bagaimana pula Sarjan Jamil Mohd Shah sanggup mati mempertahankan Bukit Kepong daripada diceroboh komunis.

“Begitu juga dengan semangat perjuangan pahlawan Sarawak, Kanang Anak Langkau dan Mohd Zabri yang terkorban ketika berjuang untuk negara pada 1975,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan hari kemerdekaan di sekolah itu semalam.

Jamari berkata, penceritaan kisah perjuangan empat wira itu juga penting untuk menyedarkan generasi baru bahawa mereka hidup selesa pada hari ini adalah kerana usaha generasi terdahulu.

Katanya, kalau dibiarkan, generasi hari ini akan semakin layu dan mereka akan lupa rakyat bersatu sebagai rakyat Malaysia.

“Diakui semangat patriotik dalam diri generasi baru ini agak pudar dan ada antara mereka berpendapat sambutan hari kemerdekaan tidak begitu penting.

“Sebab itu saya mahu pelajar sekolah fahami sejarah dan sedar perjuangan orang lama,” katanya yang memberitahu sekolah itu akan mengadakan pelbagai aktiviti kemerdekaan sehingga 16 September.

Ia juga akan diisi dengan pertandingan menghias kelas, reka bentuk baju kemerdekaan dan banyak lagi.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Tumpat, Nik Noriza Nik Salleh berkata, beliau gembira dengan kerjasama yang terjalin antara pelajar dan guru dalam menjayakan sambutan hari kemerdekaan.

Disiarkan pada: August 12, 2016 @ 1:23pm
d