mutakhir

Pengerusi MyWatch ditahan semula

Kuala Lumpur: Pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) Datuk Sri Sanjeevan sekali lagi ditahan polis di Kajang, Selangor, semalam.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Roslee Chik berkata, Sanjeevan ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang jam 4.30 petang.

Beliau berkata, suspek akan didakwa esok (hari ini) di Temerloh atas kesalahan memeras ugut ahli perniagaan.

“Berdasarkan semakan, terdapat 20 kes dan kertas siasatan terhadap suspek,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Sanjeevan dibenarkan diikat jamin RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas dua kesalahan iaitu menggaji pekerja asing dan memeras ugut.

Suspek sebelum ini dilepas dan dibebaskan serta-merta pada 27 Julai lalu daripada tahanan reman 21 hari yang diperintahkan terhadapnya mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Difahamkan tangkapan terdahulu dilakukan susulan laporan polis dibuat mendakwa Sanjeevan memeras ugut mangsa pada 2013.

Disiarkan pada: August 12, 2016 @ 2:07pm
d