mutakhir

Warga prihatin

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Beberapa orang awam bertindak nekad mendukung beramai-ramai seorang lelaki warga emas sejurus sebuah kedai dijilat api, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa ditemui berada di tingkat atas premis bersebelahan kedai usang yang terbakar di Jalan Jambu Batu, Off Jalan Ipoh, Kampung Batu 5, di sini.

Pemilik kedai alat ganti kenderaan yang mahu dikenali sebagai Tan, 40-an berkata, orang ramai yang kebetulan berada di lokasi segera menolong mengangkat mangsa.

Menurutnya, mangsa segera dipapah turun ke tingkat bawah premis itu sebelum dibawa ke kawasan selamat.

“Kami risau sesuatu yang buruk berlaku kepada lelaki ini memandangkan dia tidak mampu bergerak dengan pantas kerana sudah uzur.

Tangga yang digunakan untuk naik ke kediaman lelaki itu panas berbahang malah kotak suis yang berada di tangga juga sudah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia dan beberapa individu lain membantu memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api berikutan bimbang api merebak ke kedai bersebelahan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, Gombak Selatan dan Sentul bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran.

“Bangunan berkenaan kosong dan tidak berpenghuni. Kebakaran membabitkan 80 peratus daripada keluasan premis seluas 600 meter persegi itu,” katanya.

Disiarkan pada: August 12, 2016 @ 2:08pm
d