mutakhir

Jejak Jabal Nur

Oleh Safar Ahmad

Makkah: Apabila diberitahu salah satu atur cara program yang disusun pihak Lembaga Tabung Haji (TH) untuk media adalah mendaki Jabal Nur yang menempatkan Gua Hira’, lokasi Rasulullah SAW menerima wahyu pertama, penulis agak gementar sama ada mampu atau tidak mendaki bukit batu gersang berketinggian 642 meter itu.

Ini berikutan penulis jarang melakukan aktiviti lasak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, ini juga kali pertama penulis mendaki bukit.

Namun, atas semangat mahu menghayati kesukaran Rasulullah SAW sering berulang alik menaiki bukit berkenaan berkhalwat dan mengasingkan diri daripada masyarakat Quraisy ketika itu, penulis nekad untuk menjejakkan kaki ke puncak yang terletak enam kilometer di utara kota Makkah itu yang sering disebut dalam sirah baginda.

Kelmarin, tepat jam 3 pagi rombongan 21 petugas media memulakan pendakian di dalam kegelapan pagi.

Pendakian dimulakan awal pagi bagi mengejar masa untuk menunaikan solat Subuh di dalam Gua Hira’ selain mengelak cuaca panas.

Dengan hanya dibantu cahaya lampu telefon bimbit, sebotol air zam zam dan sedikit makanan ringan, kumpulan media mula mendaki dengan melalui jalan di kawasan penempatan penduduk.

Dua puluh minit pertama pendakian berjalan lancar. Laluan pendakian tidaklah sukar seperti mendaki gunung lain kerana terdapat tangga yang dibina di situ.

Di kiri kanan laluan kami terserempak dengan beberapa orang yang tidur di sepanjang laluan dan ada yang menegur kami.

Memasuki separuh pendakian penulis mula berasa keletihan dan beberapa kali hampir berputus asa. Bagaimanapun, penulis terus berdoa agar diberi kekuatan dan dipermudahkan proses pendakian.

Alhamdulillah selepas hampir sejam mendaki penulis tiba juga di puncak dan dapat memasuki Gua Hira’ dan menunaikan solat sunat di dalamnya.

Kami agak bertuah kerana ketika sampai hanya kami saja yang berada di situ tanpa perlu berebut ruang yang sempit itu dengan penziarah lain.

Dari sini kami dapat melihat muka bumi dan pemandangan kota Makkah yang terang benderang dengan lampu jalan.

Sebaik masuk waktu Subuh, kedengaran azan berkumandang sahut menyahut dari semua arah. Bunyinya bergemersik yang datangnya dari ratusan masjid dan surau sekitar Makkah.

Selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, kami berada di puncak selama kira-kira sejam. Ketika itu kelihatan beberapa penziarah dari pelbagai negara sudah mula mendaki dan tiba di puncak.

Perjalanan menuruni bukit walaupun kurang menggunakan tenaga, namun lebih berbahaya. Jadi kami menunggu sehingga hari cerah sebelum bergerak turun.

Di pertengahan jalan kami bertemu dengan ramai warga asing terutama dari Pakistan yang menuju ke puncak.

Penulis kagum dengan kecekalan sebahagian daripada mereka yang agak berusia, namun tetap bersemangat untuk ke Gua Hira’.

Salah seorang petugas media Muhammad Farid Affy Omar, 28, memberitahu ini kali kedua dia mendaki Jabal Nur dan menyifatkan sebagai pengalaman yang tidak boleh dilupai.

“Kita dapat menghayati bagaimana sukarnya isteri Rasulullah SAW iaitu Siti Khatijah mendaki bukit ini tanpa menggunakan tangga seperti hari ini untuk menghantar makanan kepada baginda.

“Ikhtibar daripada penghayatan peristiwa ini kita seharusnya cekal dalam kehidupan dan terus berusaha walaupun menghadapi kesukaran,” kata editor visual TV Al-Hijrah ini.

Bagi jemaah haji Malaysia, TH ada menyediakan siri ziarah ke Jabal Nur bagaimanapun jemaah hanya dibawa ke kaki bukit saja dan tidak digalakkan mendaki atas faktor keselamatan.

Bagi jemaah yang berhasrat pergi sendiri dan mendaki bukit berkenaan mereka perlu memastikan semua ciri keselamatan dipatuhi dan memiliki keupayaan fizikal dan mental.

Disiarkan pada: August 13, 2016 @ 5:17am
d