mutakhir

Iktibar sejarah Melaka

Oleh Salman Hamat

Melaka: Orang Melayu diingatkan supaya berwaspada terhadap sebarang bentuk penjajahan moden yang berlaku sekarang dengan sentiasa memulihara nikmat kemerdekaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat perlu sentiasa menjaga kedaulatan negara dengan mengendalikan pentadbiran dan menentukan sendiri pemimpin pilihan mereka, tanpa campur tangan kuasa luar.

Menurutnya, kemerdekaan dicapai amat mahal nilainya dan jika sekali dijajah dalam bentuk moden, rakyat hilang segala-galanya termasuk kuasa, martabat dan maruah yang sukar untuk mendapatkannya semula.

“Kita perlu belajar daripada sejarah kejatuhan Empayar Melaka akibat campur tangan asing. Kegemilangan empayar yang terkenal sebagai ‘Venice of the East’ itu kerana kesetiaan, tetapi akibat hasutan, beri maklumat kepada Portugis, hancur Melaka dan ini menjadi pengajaran.

“Jaga kedaulatan negara kerana ia hak kita yang mesti dipelihara. Kepemimpinan negara, kita tentukan, bukan orang luar kerana untuk mencapai kemerdekaan itu sangat mahal nilainya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu di Banda Hilir, semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Seri Idris Haron, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Kerja UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, ahli UMNO juga perlu mengamalkan prinsip setia sepanjang hayat dalam apa juga keadaan bagi memastikan parti itu terus ke hadapan dalam apa juga keadaan.

“Usia UMNO baru 70 tahun, negara baru 59 tahun merdeka, banyak lagi tugas perlu kita laksanakan, jangan biarkan sebarang bentuk penjajahan moden berlaku, menindas kita, ini wajib bagi semua ahli UMNO dan parti dalam Barisan Nasional (BN),” katanya.

Mengenai prinsip kesetiaan, Najib berkata, satu hari nanti beliau menyerahkan kuasa kepada penggantinya, namun tidak sesekali mengkhianati UMNO kerana itu pantang baginya.

“Don’t ever cross the line’ (jangan sesekali melampaui batasan) pada saya, sebab menderhakai perjuangan, itu pantang saya. Saya lawan habis-habisan orang ini sebab kita nak parti kuat,” katanya.

Menurutnya, prinsip kesetiaan kepada presiden adalah tonggak kejayaan UMNO di semua peringkat dan dalam hal itu, beliau menghormati bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba kerana sikap kesetiaan yang tinggi dalam perjuangan parti.

“Dia (Abdul Ghafar) pernah kata, jawatan tidak penting, tetapi perjuangan kerana jika parti selamat, maka kita semua selamat,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2016 @ 5:21am
d