mutakhir

Hasrat tujuh saudara tunai haji serentak termakbul

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kelana Jaya: Perancangan tujuh saudara mengerjakan haji akhirnya termakbul apabila mereka mendapat tawaran serentak pada November lalu.

Mereka terdiri daripada Zainab Mouib, 64, Maimun Muid, 63, Sutir Muid, 66, dan suami Basirun Taufik, 67, Muhamad Taufik, 52, dan isteri Rozinah Jaafar, 52 dan Khatijah Taufik, 66.

Zainab, Maimun dan Sutir adalah adik-beradik, manakala suami Sutir, Basirun turut membawa adik-beradiknya iaitu Muhamad dan Khatijah.

Zainab yang juga ibu tunggal berkata, mereka sepakat membuat keputusan pergi bersama ke Tanah Suci selepas suaminya meninggal.

“Suami saya meninggal pada 2005 akibat lumpuh dan ketika itu kami masih belum membuat perancangan kerana sumber kewangan yang ada digunakan untuk perbelanjaan harian dan perubatannya.

“Selepas dua tahun suami meninggal, barulah saya dan adik-beradik merancang mengerjakan haji bersama dan terus mendaftar pada tahun yang sama iaitu 2009,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pergi bersama adik-beradik dan keluarga lebih mudah dan senang kerana boleh membantu satu sama lain tanpa berkira dan boleh tinggal di bilik yang sama.

“Jadi kami boleh bergerak dan fokus kepada ibadah dengan lebih mudah apabila masing-masing ingin melakukan perkara yang sama,” katanya.

“Sekiranya ada kemusykilan mengenai sesuatu perkara kami boleh merujuk antara satu sama lain terlebih dulu sebelum mendapatkan pihak TH,” katanya.

Zainab berkata, dari segi kewangan dia hanya menyimpan menerusi pencen arwah suami kerana dia juga berhasrat mengupah haji bagi pihak arwah.

“Sejak suami meninggal, semua wang pencen terus dimasukkan ke akaun TH kerana sudah merancang digunakan untuk ke Makkah, manakala perbelanjaan bulanan diberikan oleh anak.

“Selain itu, saya juga ada mengambil upah mengasuh kanak-kanak bagi menampung duit poket sendiri sebagai perbelanjaan harian,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2016 @ 5:23am
d