mutakhir

Kancil 'singgah' kedai

Oleh myMetro

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 51 tahun yang bersarapan di kedai kopi di Lot 14, Jalan Kepayan, Ridge Comercial Center di sini, cedera selepas dirempuh Perodua Kancil, jam 9 pagi kelmarin.

Kejadian berlaku apabila pemandu Perodua Kancil yang juga wanita berusia 25 tahun tertekan pedal minyak sejurus menghidupkan enjin kereta berkenaan menyebabkan ia meluncur ke depan dan merempuh mangsa.

Bagaimanapun, tiada pelanggan lain yang cedera kerana mereka sempat menyelamatkan diri. Mangsa yang cedera ringan di belakang badannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan.

Menurut pemilik kedai kopi berkenaan yang berusia 30-an, terdahulu, pemandu Perodua Kancil terbabit pergi ke keretanya yang di parkir di depan premis itu.

“Sebaik wanita itu menghidupkan enjin kereta, Perodua Kancil berkenaan meluncur ke depan sebelum merempuh beberapa meja di dalam kedai.

“Orang ramai kemudiannya membawa mangsa yang cedera ke hospital,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Mohd Azhar Hamin berkata, siasatan awal mendapati pemandu wanita terbabit mahu pulang ke rumahnya di Rumah Murah Kepayan.

Disiarkan pada: August 14, 2016 @ 5:27am
d