mutakhir

Tarikh pengurusan kes tuntutan takhta Terengganu 25 September [METROTV]

Oleh Helmy Abd Rahman

Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam memanggil Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, 59, bagi pengurusan kes tuntutan takhta Sultan Terengganu daripada keturunan Tengku Ali Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman mengikut Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 yang difailkan pada 3 Mei lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli bagaimanapun menetapkan 25 September ini sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya.

Keputusan dibuat berikutan permintaan defendan kerana pihaknya bercadang untuk membalas afidavit Tengku Sulaiman (selaku plaintif) yang difailkan bagi menentang permohonan defendan membatalkan tuntutan itu.

Tengku Sulaiman yang juga cucu lelaki sulung kepada Tengku Ali hadir bagi kali ketiga dengan ditemani peguamnya, T Mura Raju selepas kali pertama pada 6 Jun dan 17 Julai lalu di mahkamah sama.

Beliau menamakan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Isa @ Ghazali Endut, Tengku Ibrahim Tengku Hussain, Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus, Shaikh Harun Shaikh Ismail (kesemuanya didakwa sebagai ahli-ahli semasa Dewan Pangkuan Diraja Terengganu) dan kerajaan negeri sebagai defendan.

Mengikut pernyataan tuntutannya, pada 26 September 1942, Tengku Ali menduduki takhta kerajaan negeri Terengganu berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III.

Tengku Ali bagaimanapun diturunkan daripada takhta itu pada 5 November 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu (kini dikenali sebagai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu) dan melantik bapa saudara Tengku Ali iaitu Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu.

Pernyataan tuntutan itu juga mendakwa pada waktu itu, Tengku Ali mempunyai anak sulung lelaki berusia 11 tahun iaitu Tengku Abdul Halim Tengku Ali yang sepatutnya menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Terengganu.

Tengku Sulaiman yang juga anak lelaki sulung kepada Tengku Abdul Halim menuntut haknya menduduki takhta Sultan Terengganu berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu 1911 (perlembagaan negeri Terengganu dalam bentuk asal).

Selain itu, pernyataan tuntutan berkenaan menyebut bahawa plaintif berhak mewarisi dan menaiki serta menuntut takhta negeri Terengganu ketika hayatnya.

Disiarkan pada: August 15, 2016 @ 8:29am
d