mutakhir

Kurang peduli masalah rakyat

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Sikap kurang mengambil peduli terhadap permasalahan rakyat menjadi antara punca UMNO hilang kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen khususnya di kawasan bandar.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun sesebuah bandar termasuk di Shah Alam sendiri mempunyai majoriti pengundi Melayu namun parti itu masih gagal mendapat sokongan pada pilihan raya.

“Lebih 70 peratus pengundi di Shah Alam adalah Melayu, anjakan sokongan di bandar ini kepada pembangkang secara konsisten menyebabkan majoriti undi turun kepada 10,959 pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu adalah satu manifestasi betapa golongan lemah atau masyarakat awam betul-betul menunjukkan kuasanya kepada golongan kuat. Mereka menunjukkan bahawa mereka mampu menunjukkan kuasa.

“Sebab apa, sebab kita kurang mengambil peduli, bukan salah kepemimpinan dulu, bukan salah kepemimpinan sebelum itu. Sebab nilai sudah berubah, oleh sebab itu kita harus ubah kaedah pendekatan kita, jangan mudah menyalahkan orang lain, perkhidmatan berbeza mengikut lokasi dan situasi,” katanya ketika ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Shah Alam di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, seluruh perwakilan UMNO Shah Alam digesa bangkit bagi merampas semula kerusi itu pada PRU akan datang.

“Shah Alam sebuah perkampungan dan kawasan perladangan sebelum ini dan menjadi kawasan dipanggil bandar raya sekarang.

“Semakin maju kawasan itu, semakin kalah kita.

“Sudahlah kawasan yang diduduki orang Cina, memang tidak pernah dimenangi oleh pemimpin Melayu. Ini di kawasan Melayu, kalah juga UMNO,” katanya.

Beliau berkata, semua pemimpin parti digesa sentiasa merendah diri dan tidak mendabik dada apabila mempunyai jawatan.

“Sebelum ada jawatan, rumah kecil, apabila sudah ada, tukar rumah besar. Dulu kereta kecil, tukar kereta besar.

“Cukuplah, orang kenal kita dulu siapa. Jangan ubah sikap, jangan ubah cara di mana pun kita duduk. Kita hendaklah menjadi seperti padi, semakin tunduk apabila berisi, biar orang sayang pada kita,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2016 @ 8:33am
d