mutakhir

Datang tengok sendiri

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Kejayaan Malaysia melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ditonjolkan kepada dunia menerusi Minggu Antarabangsa NBOS yang berlangsung tujuh hari sehingga 20 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kebanyakan Strategi Lautan Biru (BOS) dilaksanakan di luar negara hanya membabitkan syarikat multinasional dan ia amat berbeza dengan yang dilakukan Malaysia.

“Ini kerana Malaysia sendiri sebagai sebuah negara mengamalkan konsep ini. Jadi, kami tunjukkan kepada dunia apa yang sudah dicapai setakat ini.

“Malah, kami membincangkan dengan lebih terperinci mengenai konsep BOS dan berkongsi pengalaman melaksanakannya di peringkat negara melalui Persidangan Antarabangsa Mengenai BOS,” katanya ketika ditemui media selepas pelepasan peserta NBOS Run and Ride 2016, di sini, semalam.

Lebih 4,000 peserta menyertai program yang merangkumi acara berbasikal dan berlari membabitkan tiga jarak iaitu berlari sejauh 11 kilometer (km), Fun Ride (16 km) dan Fun Run (lima km).

Ali bersama 120 pegawai kanan kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin turut menyertai Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) Celebrity Walk membabitkan acara berjalan kaki sejauh 2 km.

Selain itu, Ali menggalakkan orang ramai hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk melihat kejayaan pelaksanaan NBOS sejak diperkenalkan kerajaan pada 2009.

Katanya, sepanjang minggu ini pelbagai program termasuk Hari Terbuka dan Pameran NBOS diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan negara melalui konsep ini.

“Lebih 90 projek sudah dilaksanakan melalui konsep ini termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

“Jadi saya galakkan rakyat datang dan melihat sendiri program dilaksanakan negara setakat ini,”katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas melancarkan Hari Terbuka NBOS dan ‘NBOS Coffee Table Book’, Ali berkata, sepanjang minggu ini pihaknya membawa delegasi antarabangsa untuk melawat projek yang berjaya dilaksanakan.

Katanya, beberapa badan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menunjukkan minat terhadap NBOS ini.

Selain itu, Ali berkata, turut diadakan sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 adalah Persidangan Dwi Tahunan CAPAM 2016 yang dihadiri 1,000 peserta dari 53 negara Komanwel dan antarabangsa.

“Persidangan ini menyediakan platform bagi perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam bidang tadbir urus baik khususnya berkaitan transformasi yang dilaksanakan kerajaan masing-masing dalam pembangunan perkhidmatan awam negara.

“Bukan itu sahaja, ia dapat memperkukuhkan komitmen dan sokongan Malaysia terhadap inisiatif dan program yang dijalankan pelbagai pertubuhan di negara Komanwel,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2016 @ 8:36am
d