mutakhir

Buru Pokemon beramai-ramai

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: ‘Pokemon Go Ipoh Mass Walk’ yang diadakan di sini meriah dengan kehadiran ramai peminat permainan itu yang menghabiskan masa seharian di bandar raya ini semalam untuk memburu dan menangkap pelbagai spesies Pokemon.

Program anjuran Kelab Algoreka berkenaan disertai kira-kira 500 pemain dari seluruh Perak selepas maklumat mengenai penganjuran program berkenaan dimuat naik di laman media sosial Facebook.

Menurut penganjurnya, Joanna Gough, program berkenaan bertujuan untuk mengumpulkan lebih ramai peminat permainan Pokemon Go di samping mencari keseronokan bermain permainan siber itu secara beramai-ramai.

Katanya, pihaknya tidak menyangka program kali pertama diadakan itu mendapat sambutan yang menggalakan.

“Walaupun kita tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi melalui program sebegini ia mampu mengeratkan hubungan antara pemain selain menambah kenalan.

“Program ini sangat menyeronokkan apabila kita bermain secara beramai-ramai dan ternyata permainan ini mendapat sambutan ramai terutama mereka yang menyukai teknologi khususnya golongan muda,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Menurutnya, ketika pertama kali memuat naik maklumat mengenai program berkenaan di facebook, dia menjangka hanya seramai 30 orang yang akan menyertainya.

“Ia kemudian menjadi viral dan seramai 500 peserta mengesahkan kehadiran mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bahaya permainan Pokemon Go berkenaan yang kini hangat diperkatakan, Joanna berkata, ia tidak berbahaya sekiranya pemain sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan ketika bermain permainan itu.

“Jika kita bermain secara sendiri, ia mungkin mendatangkan bahaya, sebab itu kita memerlukan sistem sokongan yang mana kita bermain secara berkumpulan,” katanya.

Program Pokemon Go Ipoh Mass Walk itu diadakan bermula pada jam 10.15 pagi dan berakhir pada sebelah petang dengan membabitkan jarak sejauh kira-kira lapan kilometer di sekitar kawasan bandar raya ini.

Disiarkan pada: August 15, 2016 @ 8:59am
d