mutakhir

Pasukan peronda 24 jam

Oleh Safar Ahmad

Makkah: Seramai 17 anggota peronda ditempatkan di tujuh lokasi sekitar Masjidilharam bagi membantu jemaah haji yang tersasar dan menunjuk arah maktab penginapan.

Pasukan ini terdiri daripada anggota polis bantuan Lembaga Tabung Haji (TH) bertugas 24 jam mengikut syif.

Pengurus Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) TH Makkah, Ros Azmir Badri berkata, antara lokasi penempatan anggota peronda termasuk di kawasan Marwah, Pintu Babussalam, Pintu King Abdulaziz, Pintu King Fahd dan kawasan Masjid King Abdullah.

Katanya, pasukan peronda ini memastikan keselamatan jemaah haji dan membantu menunjuk arah maktab penginapan kepada jemaah jika mereka tersesat.

“Pasukan ini dibahagikan kepada dua dan ditempatkan di lokasi strategik sekitar Masjidilharam. Mereka bertugas 24 jam sehari mengikut syif,” katanya di Ibu Pejabat TH di Hotel Abraj Al Janadriah, di sini, semalam.

Pasukan peronda ini boleh dikenali melalui pakaian seragam mereka iaitu seluar hitam, kemeja-T dan topi merah.

Beliau berkata, PKP adalah barisan hadapan TH yang melayan setiap persoalan dan aduan yang dikemukakan jemaah. Terdapat tiga kaunter khidmat pelanggan di Tanah Suci termasuk satu di Madinah.

Katanya, kaunter khidmat pelanggan mengendalikan aduan, pertanyaan daripada jemaah, mengenal pasti keperluan jemaah serta memaklumkan saluran yang tepat bagi memenuhi keperluan jemaah berkenaan.

“Kami juga memberi penerangan dan maklumat terkini berhubung isu semasa atau apa-apa pertanyaan daripada jemaah haji.

“Selain itu, pusat khidmat pelanggan juga menjadi pusat sehenti kepada jemaah yang memerlukan perkhidmatan sama ada dari segi penempatan, ibadat dan sebagainya.

“Kami turut menyelaras semua aduan diterima di semua stesen operasi di Tanah Suci,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut mengatur penghantaran jemaah haji yang sesat dari bangunan ibu pejabat ke bangunan penginapan jemaah haji atau sebaliknya.

Katanya, fungsi lain termasuk menyediakan pasukan pengiring kepada rombongan am dan ahli mesyuarat pengurusan haji ketika operasi Masya’ir (ibadat luar di Arafah, Mudzalifah dan Mina) atau pengurusan tawaf dan saie di Masjidilharam.

“Segala aduan yang diterima akan didaftarkan dalam sistem aduan berkomputer iaitu Sistem Bersepadu TH.

“Stesen yang menerima dan mendaftar aduan bertanggungjawab mengambil tindakan susulan terhadap aduan berterusan,” katanya.

Ros Azmir berkata, ketika ini terdapat 36 petugas di PKP diketuai beliau sendiri.

Disiarkan pada: August 15, 2016 @ 9:22am
d