mutakhir

Elak risiko melalui latihan, teknik betul

Kuala Lumpur: Muay Thai dan tinju dikenali sebagai antara sukan berbahaya dan hanya kelompok tertentu sahaja yang mungkin berani membabitkan diri dalam sukan berkenaan.

Namun, sukan ini juga sama seperti sukan lain yang berdepan risiko kecederaan, tetapi ia dapat dielak melalui latihan dan teknik yang betul.

Bagi pemilik Hallo Fight Lab, Mohd Hazrul Mohd Sapri, sukan Muay Thai dan tinju boleh dicuba oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak dengan bimbingan daripada tenaga pengajar yang berwibawa.

Malah, pembabitan dalam kedua-dua sukan
ini boleh menjamin masa depan yang cerah kerana terdapat banyak pertandingan amatur
dan profesional membabitkannya termasuk acara Sukan SEA serta SUKMA.

Tambah Mohd Hazrul, latihan sukan Muay Thai banyak ditawarkan di gimnasium dan ia menjadi trend sejak beberapa tahun lalu bagi orang ramai yang minat untuk mencuba.

“Orang kita suka mencuba, sebab itu jika ada sesuatu jenis senaman atau sukan baru mereka tidak ragu-ragu untuk lakukannya jika berkemampuan dari segi fizikal.

“Secara asasnya, perkara utama yang perlu ada pada mana-mana individu yang terbabit dalam sukan Muay Thai adalah minat dan walaupun berdepan risiko kecederaan, mereka perlu menganggapnya sebagai sebahagian daripada sukan,” katanya.

“Oleh itu, latihan yang cukup dan teknik yang betul dapat membantu mengelak daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

“Bagaimanapun, untuk terbabit dalam sukan ini khususnya atlet, mereka perlu fokus ke tahap maksimum kerana Muay Thai memerlukan ketelitian terutamanya ketika menjalani latihan dan pertarungan di gelanggang.

Ketika latihan, segala sudut perlu dititikberatkan, sekali gus memastikan keadaan fizikal dalam keadaan terbaik.

Menurut Mohd Hazrul lagi, selain seni mempertahankan diri, sukan Muay Thai dan tinju juga dapat mengawal berat badan, meningkatkan kecergasan dan kesihatan serta mampu memberi stamina kepada seseorang individu.

Ia juga dapat membantu mengurangkan masalah kesihatan seperti obesiti, masalah jantung dan sebagainya.

Disiarkan pada: August 15, 2016 @ 1:38pm
d