mutakhir

UUM tanggung kos rawatan di Korea Selatan

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Keresahan seorang penuntut Malaysia yang perlu membayar puluhan ribu ringgit bil hospital di Korea Selatan terubat apabila Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia menanggung semua kos rawatan terbabit.

Penuntut tahun dua Sarjana Muda Perakaunan, Mohd Arif Gamar, 21, dimasukkan ke Hospital Kangbuk Samsung dan menjalani pembedahan pada 9 Ogos lalu selepas radang apendiksnya pecah ketika mengikuti sesi pengenalan dalam Forum Belia Antarabangsa Kelima Mengenai Sejarah Perdamaian di Seoul.

Sepupunya, Liris @ Lis Teblani, 31, berkata, Mohd Arif antara lima penuntut Malaysia yang ditaja untuk mewakili negara dalam forum lima hari anjuran Suruhanjaya Kebangsaan Korea Untuk UNESCO (Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Universiti Hanyang, minggu lalu.

Menurutnya, sepupunya yang berasal dari Lahad Datu, Sabah itu mengadu sakit perut ketika mengikuti forum terbabit dan dimasukkan ke hospital serta perlu menjalani pembedahan segera disebabkan radang apendiksnya pecah.

Namun, katanya, dia terkejut apabila Mohd Arif memaklumkan perlu membayar bil perubatan RM37,000 menyebabkan mereka sekeluarga buntu sebelum mengambil keputusan membuat kutipan derma di media sosial.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 2 petang tadi (semalam), pihak pengurusan UUM menelefon saya memaklumkan mereka menanggung semua perbelanjaan rawatan Mohd Arif di Korea Selatan.

“Saya bersyukur ada pihak sudi membantu meringankan bebannya dan berterima kasih kepada semua pihak yang menderma serta mendoakan kesihatannya,” katanya, semalam.

Menurutnya, Mohd Arif sepatutnya pulang ke Malaysia esok namun doktor memintanya mendapat rawatan di hospital di sana sehingga kesihatannya pulih.

Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat UUM dalam kenyataan media semalam berkata, program dihadiri Mohd Arif dibiayai sepenuhnya UNESCO Korea, tetapi penuntut mesti membeli insurans kesihatan sendiri, namun dia gagal mematuhi arahan berkenaan.

“Setibanya di Korea, beliau mengalami sakit apendiks dan selamat menjalani pembedahan. Bagaimanapun, penuntut itu harus membayar bil perubatan terbabit sepanjang berada di hospital di sana.

“Setelah perkara ini dimaklumkan kepada UUM, pihak universiti mengambil langkah membantu beliau melalui Kedutaan Malaysia di Seoul,” katanya.

Menurutnya, tindakan sedang diambil bagi membantu menyelesaikan urusan bil perubatan beliau dengan kerjasama Kedutaan Malaysia dan sehingga hari ini penuntut itu masih dirawat di hospital.

Disiarkan pada: August 16, 2016 @ 9:15am
d