mutakhir

Muka melecur berlindung dalam tandas

Oleh myMetro

Rawang: Seorang lelaki ditemui terperangkap di dalam tandas dalam keadaan muka melecur selepas kediamannya terbakar awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, tindakan pantas polis memadamkan kebakaran di tingkat satu Blok D, Pangsapuri Bandar Baru Kundang, di sini, berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa berusia 33 tahun itu bersendirian di rumahnya.

Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Goh, 34, berkata, mangsa gagal keluar melalui pintu hadapan kediaman sebelum mencari perlindungan di dalam tandas.

“Saya terkejut apabila terdengar suara orang meminta tolong dari dalam rumah itu,” katanya.

Dia berkata, seorang daripada penduduk segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, anggota bomba berjaya menyelamatkan mangsa dan memadamkan kebakaran daripada merebak ke unit lain.

Disiarkan pada: August 16, 2016 @ 10:21am
d