mutakhir

Tiga pesan ibu

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kelana Jaya: “Ini semua rezeki daripada Allah SWT dan bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu-Nya pada usia muda,” kata Luqman Hakim Mohd Effendy, 22, salah seorang jemaah haji tahun ini.

Menurut Luqman Hakim yang juga pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dia tidak keseorangan kerana pergi ke Tanah Suci bersama dua adiknya iaitu Mohd Iqhwan, 21, dan Haris Mirzan, 19.

“Ini rezeki yang tidak terduga dan kami sangat bersyukur, terharu dan teruja tapi dalam masa sama rasa sedih kerana berpisah dengan keluarga pada jarak yang jauh dalam tempoh sebulan dan ia tidak sama seperti pergi menuntut ilmu.

“Ibu dan ayah belum dapat panggilan daripada Tabung Haji (TH) kerana mereka sudah pergi sebelum ini, lagipun kami bertiga daftar pada tahun yang sama iaitu 2008 dan dipanggil serentak pada Januari lalu,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, kelmarin.

Luqman Hakim berkata, ibunya sentiasa mengingatkan mereka sentiasa bersabar, jangan bergaduh antara satu sama lain dan membantu orang yang lebih tua.

“Kami bertiga masih muda dan pasti ada ego masing-masing, tapi kesabaran adalah perkara paling dititikberatkan oleh kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.

“Saya pula sebagai abang, insya-Allah cuba yang terbaik menjaga dan memantau keadaan mereka kerana di sana tanggungjawab ibu dan ayah terletak kepada saya,” katanya.

Menurutnya, dari segi persediaan kewangan, ibu dan ayah membantu mengumpul wang sedikit demi sedikit hingga mencukupi jumlah yang dimaklumkan TH.

“Selain bantuan daripada ibu dan ayah, simpanan itu dilakukan sedikit demi sedikit hasil daripada duit raya dan lebihan duit belanja di kampus.

“Persediaan lain sama seperti jemaah lain iaitu mengikuti kursus haji yang diadakan TH dan setakat ini kami tiada apa-apa masalah kesihatan,” katanya.

Luqman Hakim dan dua adiknya antara 39 jemaah yang berangkat ke Tanah Suci menerusi penerbangan KT 24b.

Disiarkan pada: August 18, 2016 @ 8:55am
d