mutakhir

Cucuk & kikis [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Cucukkan sesuatu pada bahagian kunci kenderaan yang disasarkan, kemudian mengikisnya untuk dijadikan sebagai alat untuk membuka pintu kenderaan itu.

Selang beberapa jam atau hari, mereka akan pergi semula ke tempat berkenaan serta mencari kenderaan yang disasarkan sebelum ini.

Itu antara modus operandi yang dilakukan dua kumpulan dipercayai terbabit dalam kes curi kereta termasuk pecah rumah ditumpaskan polis di sini dalam tangkapan sekitar Putrajaya, Selangor dan Kelantan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, tangkapan berkenaan bermula sejak akhir Julai lalu sehingga kini membabitkan 15 suspek termasuk empat wanita berusia 30-an hingga 40-an dan ada antara mereka sudah dituduh di mahkamah.

Menurutnya, kumpulan yang ditumpaskan itu turut dipercayai melakukan aktiviti jenayah lain termasuk mencetak geran dan cukai jalan palsu selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta dipercayai bergiat aktif enam tahun lalu.

“Susulan penangkapan suspek, polis berjaya merampas 11 kereta pelbagai jenis antaranya Perodua Alza, Myvi, Kelisa, Proton Saga dan Honda City selain cukai jalan palsu, abjad nombor dipercayai palsu selain alat pecah kereta, mesin cetak disyaki digunakan untuk mencetak cukai jalan palsu.

“Malah, polis turut merampas 70 telefon bimbit serta beberapa kunci kenderaan dengan jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan RM400,000,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, kedua-dua kumpulan itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain namun cara mereka bergerak serta modus operandi digunakan lebih kurang sama.

“Kumpulan ini dipercayai aktif begitu lama dan mereka mempunyai kepakaran tertentu terutama dalam mencetak geran dan cukai jalan palsu,” katanya.

Dalam pada itu, Rosly berkata, dengan tertangkapnya suspek kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 30 kes curi kereta dan kira-kira 10 kes pecah rumah di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang.

Katanya, polis masih memburu beberapa individu lain termasuk suspek utama manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mengulas kes samun kedai emas di Presint 15 pada Ahad lalu yang menyebabkan kerugian RM30,000, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan setakat ini ia menunjukkan perkembangan positif.

Disiarkan pada: August 18, 2016 @ 9:33am
d