mutakhir

'Abang mengadu dipukul tahanan'

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: “Abang hanya sempat mengadu sakit dipukul dalam tahanan. Selebihnya dia tidak sempat bercerita menyebabkan kami sekeluarga bimbang dengan apa yang berlaku,” kata Norsyazmira Mohamed, 23.

Dia yang juga adik kepada seorang tahanan di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, mendakwa abangnya yang berusia 27 tahun dicederakan di penjara itu selepas menjalani hukuman hampir sebulan.

Dakwanya, perbuatan itu dipercayai dilakukan orang tertentu di penjara dan hanya diketahuinya ketika melawat abangnya pada 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, ketika itu Norsyazmira tidak memikir secara serius dan hanya meminta abangnya bersabar sehinggalah dimaklumkan abangnya tenat dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, untuk menjalani pembedahan di bahagian usus, Isnin lalu.

Keadaannya masih kritikal dengan status 50-50, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), HRPZ II.

Norsyazmira membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa, jam 3 petang kelmarin dan menuntut pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan

Menceritakan lebih lanjut, wanita itu memberitahu terkejut apabila melihat abangnya dalam keadaan tidak bermaya dan dipapah dua banduan lain ketika melawat lelaki terbabit pada 10 Ogos lalu.

“Saya terkejut kerana keadaannya tidak begitu, dia agak berisi dan gempal. Ketika itu dia beritahu dipukul dan tidak bercerita lanjut.

“Pada Isnin, kami sekali lagi dikejutkan dengan berita abang tenat dan dihantar ke HRPZ II oleh anggota polis yang ke rumah di Kampung Bechah Hangus, Ketereh, di sini.

“Saya dan keluarga segera ke sana untuk menemuinya, namun dia berada dalam bilik pembedahan. Kami menunggu semalaman,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Kami menyiasat laporan berkenaan sama ada benar dakwaan dipukul atau sebaliknya memandangkan mangsa masih koma,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Mangsa sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menjalani hukuman penjara sejak 14 Julai lalu di Penjara Pengkalan Chepa.

Disiarkan pada: August 18, 2016 @ 9:41am
d