mutakhir

Cadangan SPAD tidak beri manfaat pemandu teksi [METROTV]

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Cadangan Transformasi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) untuk industri teksi di negara ini hanya untuk menjaga kepentingan GrabCar dan Uber semata-mata dan bukannya melakukan penambahbaikan terhadap pengangkutan berkenaan.

Penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, 11 cadangan yang dibentangkan kelmarin tidak memberi manfaat untuk jangka panjang dan ia hanya dilihat sebagai usaha ‘mengambil hati’ pemandu dan pengusaha teksi sahaja.

Beliau berkata, jika cadangan berkenaan diterima, ia menyebabkan industri teksi negara ini musnah dalam jangka masa terdekat dan segala usaha untuk transformasi kemudahan itu hanyalah sia-sia.

“Kebanyakan cadangan yang dibentang SPAD mengarut antaranya membenarkan semua kenderaan dijadikan sebagai teksi dengan alasan mengurangkan bebanan pemandu yang mengeluarkan modal tinggi untuk memiliki kereta.

“Bayangkan jika kenderaan kompak digunakan untuk mengambil empat penumpang dengan pelbagai bagasi...bagaimana keadaan kenderaan itu dan ia boleh membahayakan nyawa selain penumpang tidak selesa,” katanya, dalam sidang media, di sini, semalam.

Sebelum itu, SPAD membentangkan perancangan pembangunan SPAD dalam meningkatkan kualiti pengangkutan awam termasuk menambah baik fungsi teksi lebih bersaing dengan situasi semasa.

Sesi taklimat dan pembentangan Program Transformasi Industri Teksi oleh SPAD selama dua jam yang dihadiri wakil pemandu teksi, di sini, semalam, jelas menunjukkan ia tidak menyelesaikan isu berbangkit apabila majoriti tidak puas hati.

Disiarkan pada: August 18, 2016 @ 9:49am
d