mutakhir

Tangani isu pelarian

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Malaysia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi menangani isu pendaftaran dan pengeluaran kad untuk pelarian.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat membincangkan isu mengenai UNHCR yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di pejabatnya, semalam.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kerjasama itu akan dilaksanakan menerusi penubuhan satu Pasukan Petugas Khas Bersama Malaysia-UNHCR selaras dengan usaha menangani isu migrasi yang kompleks ini.

Katanya, ahli pasukan petugas khas itu terdiri daripada pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar dan UNHCR.

“Walaupun bekerjasama dalam dua aspek berkenaan, namun proses penentuan status pelarian masih menjadi tanggungjawab sepenuhnya UNHCR berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1957,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan UNHCR sudah menjalin kerjasama selama 41 tahun sejak pejabat UNHCR ditubuhkan di negara ini mulai 1975 susulan daripada kebanjiran pemohon suaka dari Vietnam.

Katanya, peranan utama UNHCR di Malaysia adalah memproses permohonan status pelarian yang dikemukakan pemohon suaka.

Disiarkan pada: August 19, 2016 @ 8:54am
d