mutakhir

Daging buat Palestin

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: “Rakyat di Palestin sentiasa ternanti-nanti untuk menikmati hidangan daging walaupun peluang itu hanya datang setahun sekali saja sempena Aidiladha hasil sumbangan dan keprihatinan negara luar yang melakukan ibadah korban. Kami amat bersyukur dengan adanya sumbangan dari negara seperti Malaysia, Turki dan Qatar,” kata Pegawai Perhubungan Awam, Pertubuhan Kebudayaan Palestin di Malaysia (PCOM), Ziad Mohamad.

Menurut Ziad, penutupan sempadan Rafah oleh Mesir menyebabkan rakyat Palestin sukar mendapatkan ternakan untuk disembelih dan hanya mengharapkan sumbangan daripada masyarakat Islam luar yang prihatin.

Katanya, program korban yang dilakukan oleh masyarakat Islam Malaysia untuk rakyat Palestin saban tahun amat membantu, sekali gus membawa erti besar buat mereka khususnya dalam menyatukan seluruh umat Islam.

“Sebelum ini mereka boleh keluar masuk ke Mesir melalui sempadan Rafah untuk membeli ternakan seperti lembu dan kambing tetapi sekarang tidak lagi.

“Bagi yang mampu, mahu tidak mahu terpaksa membelinya daripada rakyat Israel dengan harga dua kali ganda iaitu kira-kira USD20 (RM79) bagi sekilogram daging dan sebab itu rakyat Palestin amat menantikan kehadiran umat Islam yang melakukan korban setiap kali tibanya Aidiladha,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Terdahulu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengumumkan untuk sekali lagi melaksanakan korban di 12 negara iaitu Filipina, Iraq, Kemboja, Lubnan, Malaysia, Myanmar, Palestin, Sri Lanka, Sudan, Syria, Vietnam dan Yaman.

Program Qurban Kasih Ummah (QKU) itu diadakan buat kali ke-18 dan ia akan diuruskan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

Pengurus QKU, Abdul Hafidz Hashim berkata, pihaknya mensasarkan untuk mengumpul sebanyak RM1.3 juta sumbangan daripada rakyat Malaysia menerusi enam pakej korban yang ditawarkan.

“Kita menawarkan enam pakej korban lembu dan kambing termasuk daging kambing ditinkan dan dibekukan bagi memudahkan ia diagihkan ke negara penerima.

“Pada tahun ini juga, kita turut menjadi hos kepada 17 keluarga migran Syria yang dibawa masuk ke Malaysia. Ia juga kali pertama mereka menyambut Aidiladha di sini selepas sekian lama menjadi pelarian akibat konflik di Syria,” katanya.

Orang ramai yang berminat membuat penyertaan korban dan aqiqah, boleh melayari laman web www.ramadhan-qurban.org atau hubungi 019-2276760 dan bayaran boleh dibuat ke akaun Maybank Humanitarian Care Malaysia Berhad di 5642 5856 0698 atau Bank Islam (1209 2010 0349 04).

Disiarkan pada: August 19, 2016 @ 9:00am
d