mutakhir

Saksi cam tertuduh [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, lelaki yang mendaftar masuk di Hotel New Town, Sunway Mentari, Petaling Jaya berkemungkinan individu sama dengan tertuduh kedua kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.

Md Saddam Hossain, 25, (gambar) yang juga Eksekutif Pendaftaran di hotel itu berkata, dia bekerja di bahagian depan kaunter didatangi seorang lelaki yang mahu mendaftar masuk bagi dua bilik, jam 8.15 pagi, pada 3 September tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata, ketika itu, lelaki berkenaan bertanyakan harga bilik sebelum bersetuju mendaftar masuk dua bilik untuk tiga individu bagi satu malam dengan membayar deposit RM50 dan harga bilik yang ditempah.

“Sebelum itu, datang seorang lagi rakannya, namun saya hanya berinteraksi dengan lelaki pertama bagi urusan penempahan dua bilik berkenaan yang berlaku kurang daripada lima minit.

“Saya hanya mengecam lelaki pertama itu yang mirip seperti seorang tertuduh yang duduk di kandang tertuduh dan tidak dapat mengecam sesiapa lagi di sini sebagai lelaki kedua yang turut bersamanya ketika itu,” katanya ketika Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud menunjukkan gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel berkenaan, pada hari ke-19 perbicaraan kes bunuh Kevin Morais di depan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Tertuduh kedua yang juga penganggur, G Gunasekaran, 48, bersama enam lelaki termasuk seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Kevin Morais yang mayatnya ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini, 16 September 2015.

Selain Gunasekaran, lima lelaki yang juga tertuduh, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, S Nimalan, 23, dan S Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya, Sentul dan Nombor 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Seorang lagi tertuduh, R Kunaseegaran, 53, yang juga pakar patologi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu pada pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.

Ketika disoal Masri mengenai rupa paras lelaki pertama itu, Md Saddam berkata, ciri fizikal lelaki berkenaan adalah tinggi, berkulit gelap, berjanggut, rambut tidak terlalu banyak dan badan sedikit gempal.

Sementara itu, apabila disoal Wan Shaharuddin Wan Ladin mengapa dia mengatakan lelaki pertama adalah berkemungkinan Gunasekaran, Md Saddam menjawab ia disebabkan lelaki pertama yang ditemui pada tahun lalu itu berjambang sedangkan tertuduh kedua itu tidak berjambang, namun semua ciri-ciri fizikalnya yang lain sama.

Terdahulu, suasana mahkamah menjadi hangat seketika apabila tiba giliran peguam S Ramesh yang mewakili Gunasekaran dalam pemeriksaan balas apabila mempertikaikan status Md Saddam di negara ini disebabkan saksi pendakwaan itu yang juga warga Bangladesh hanya membawa kad pelajarnya sebagai pengenalan dirinya.

Soalan bertubi-tubi oleh Ramesh mengenai di mana pasport Md Saddam kemudian dibantah oleh Masri kerana dia sudah menjawab beberapa kali bahawa pasportnya ada di tangan Jabatan Imigresen bagi tujuan lanjutan tempoh visa.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Tamat

Disiarkan pada: August 19, 2016 @ 9:41am
d