mutakhir

Melaram kereta klon

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang melaram bersama kereta hadiah diperoleh daripada syarikat jualan langsung (MLM) terkejut apabila mendapat tahu kereta itu adalah kenderaan klon.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan ketika sedang memandu kereta Suzuki Swift di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini, jam 11.50 pagi, kelmarin.

Difahamkan, kereta itu diperoleh pekerja kilang berkenaan tiga bulan lalu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur Datuk Md Ziki A Rahman berkata, kereta dinaiki lelaki terbabit ditahan berikutan mempunyai perbezaan dengan kereta sebenar yang didaftar dengan JPJ.

Menurutnya, siasatan mendapati kereta klon itu menggunakan nombor plat sebuah motosikal.

“Ini adalah kes pertama kereta model ini dikesan dipalsukan oleh sindiket di ibu kota.

“Lelaki itu yang disoal siasat mendakwa tidak mengetahui kereta itu kenderaan klon yang dibawa masuk dari Singapura. Dia mendakwa kereta itu diperoleh percuma selepas menyertai syarikat MLM,” katanya.

Menurut Md Ziki, pemeriksaan lanjut pada but kenderaan itu menemui papan plat nombor kenderaan lain.

“Pemandu itu mendakwa tidak menyedari kewujudan nombor plat lain di dalam keretanya. Susulan itu kereta berkenaan disita JPJ.

“Penahanan itu menjadikan jumlah kenderaan klon disita JPJ Wilayah Persekutuan bagi tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 115 buah,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2016 @ 9:44am
d