mutakhir

Menangis sendirian

Oleh Cleo Will

Ranau: Seorang pendaki wanita yang mengalami kecederaan pada buku lali akibat terjatuh berjaya diselamatkan selepas tangisannya didengari malim gunung yang bertindak menyalurkan maklumat kepada Pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR).

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, warga Britain, Gillian Jane, 37, ditemui dalam keadaan kesakitan di Kilometer 7.2 Gunung Kinabalu selepas dipercayai terpisah daripada kumpulannya ketika dalam perjalanan turun ke Pintu Timpohon.

Difahamkan, ketika ditemui, mangsa dikatakan cuba meminta bantuan selepas mengalami kecederaan pada kaki kiri sebelum disedari tiga malim gunung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ranau Jimmy Lagung berkata, mangsa bersama 12 ahli kumpulannya mendaki ke puncak gunung itu tengah malam kelmarin sebelum tiba di puncak pada awal pagi.

“Selepas tiba di puncak, kumpulan terbabit bergerak turun sebelum mangsa terpisah daripada kumpulannya.

“Ketika sedang menuruni laluan, mangsa yang bergerak seorang diri dikatakan tergelincir lalu terjatuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa bernasib baik kerana tidak lama selepas itu, dia ditemui tiga malim gunung yang kebetulan melalui kawasan itu.

“Melihat keadaan mangsa yang cedera, malim gunung berkenaan menghubungi MOSAR untuk meminta bantuan.

“Mujur kejadian berlaku hanya terletak kira-kira 50 meter dari Sayat-Sayat, yang juga pangkalan MOSAR di puncak berkenaan,” katanya.

Jimmy berkata, anggota MOSAR kemudian memberi rawatan awal sebelum membawa mangsa turun ke Laban Rata menggunakan pengusung.

“Mangsa dibawa ke Bukit Layang-Layang menggunakan helikopter pada jam 10.15 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Gleneagles Kota Kinabalu menggunakan ambulans,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2016 @ 9:57am
d