mutakhir

Duit bertukar daun

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: “Dia ditemui dalam keadaan kebingungan dan mendakwa semuanya berlaku selepas menumpangkan seorang wanita bersama anaknya ketika pulang dari sebuah hospital pakar di sini,” kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, semalam.

Abdul Wahib berkata demikian ketika merungkai misteri kehilangan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Pangkalan Muar, Sarjan Mejar Rahim @ Norizam Darisun, 47, yang ditemui di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai, Melaka, jam 12.10 tengah hari kelmarin.

Ketika ditemui, Rahim mendakwa ‘dilarikan’ orang bunian selepas gagal dikesan selama 36 jam sejak kehilangannya dilaporkan, Rabu lalu.

Malah lebih mengejutkan, Rahim mengatakan, dia berada dalam keadaan sedar ketika menumpangkan seorang wanita bersama anaknya.

Abdul Wahib berkata, sebelum dilaporkan hilang, Rahim berada di Hospital Pakar Putra Batu Pahat.

“Rahim pulang bersendirian ke Muar untuk bertugas, namun dia yang bertugas, sebagai Ketua Team 2B, Unit Gempur Marin dilaporkan tidak hadir memulakan tugas.

“Usaha mengesannya dilakukan anggota PPM Muar di sekitar Batu Pahat hingga ke Muar namun gagal menemuinya. Kami berusaha mengesannya melalui telefon bimbitnya,” katanya.

Menurut Abdul Wahib, Rahim ditemui dalam kenderaannya di R&R Sungai Rambai.

“Malah kejadian pelik turut menimpa Rahim di mana wang yang diberikan oleh wanita yang menumpang kenderaannya bertukar menjadi daun.

“Kami gagal mengenal pasti daun terbabit selepas membuat perbandingan dengan daun pokok di sepanjang laluan walaupun ia menyerupai daun pokok puding,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2016 @ 5:18am
d