mutakhir

Rakyat perlu tingkat penghargaan kepada tentera

Kuala Lumpur: Tahap penghargaan masyarakat terhadap anggota keselamatan masih rendah.

Demikian titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengharapkan semua pihak memberikan apresiasi lebih bermakna terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang membolehkan keamanan dicapai dan kemakmuran negara dinikmati.

Baginda bertitah, jumlah derma sempena Tabung Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai yang diperoleh baik daripada syarikat mahupun individu membuktikan tahap apresiasi masyarakat kepada anggota keselamatan berada pada tahap yang rendah.

“Dilaporkan di dalam media, Tabung Pahlawan hanya mengumpul sumbangan RM1.47 juta. Gerakan menyedarkan warga agar menghargai pengorbanan anggota keselamatan hendaklah dimulakan daripada bangku sekolah sehingga ke peringkat pusat pengajian tinggi.

“Ramai anggota tentera terkorban atas nama negara, disemadikan di pusara yang tidak bernama. Amat menyedihkan apabila pengorbanan mereka begitu cepat luput daripada minda warga, selepas jasad selesai disemadikan di perut bumi.

“Demikianlah harga satu nyawa yang ditamatkan oleh sebutir peluru, apabila warga tidak disuntikkan dengan semangat menghargai pengorbanan, demikian cepat dilupakan pengorbanan wira bangsa dan perwira negara,” titah baginda.

Baginda bertitah dalam Ucapan Diraja sempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam (UA) ke-35, di sini, semalam.

Hadir sama, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Baginda turut berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan perbarisan Pentauliahan Diraja dan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Watikah Tauliah Diraja.

Perbarisan Pentauliahan Diraja membabitkan 24 detasmen dari 18 UA diketuai Pegawai Rendah Muda Abdul Muiz Rahman dari Universiti Malaya (UM).

Daripada 1,675 yang terbabit, 774 pegawai kadet lelaki dan 901 pegawai kadet wanita diserapkan kepada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Semua pegawai kadet ditauliahkan adalah pelajar UA yang tamat menjalani latihan tiga tahun sepanjang pengajian mereka.

Disiarkan pada: August 21, 2016 @ 5:15am
d