mutakhir

Durian mentua

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Jelebu: Lelaki ini pernah berulang-alik lebih 60 kilometer dari rumahnya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur ke Kampung Chennah, Titi, di sini, dengan menaiki ‘kapcai’ membawa segala kelengkapan untuk berkebun.

Semuanya kerana minat mendalam untuk berbakti pada tanah peninggalan arwah ibu mentuanya seluas 1.2 hektar biarpun waktu itu masih berkhidmat di dalam tentera di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Mohd Shafee Yaacob, 62, berkata, niatnya pada waktu itu hanya satu, menyuburkan tanah berkenaan dengan semua jenis tanaman termasuk durian untuk dinikmati anak cucu, keluarga dan sahabat handai pada masa hadapan.

“Waktu itu, saya tidak pernah terfikir untuk menjual buah-buahan di tanah berkenaan terutama durian yang boleh memberi pendapatan lumayan hari ini.

“Malah, sehingga hari ini pun, saya bukanlah hendak jual sangat durian di dusun, tetapi apabila jumlahnya semakin banyak dan tidak ‘termakan’ ahli keluarga, saya fikir elok dijual daripada membazir selain menjadi pendapatan sampingan,” katanya.

Menurut bapa lima anak berusia 30 hingga 36 tahun ini, selepas 36 tahun mengusahakan tanah berkenaan menggunakan wang pencen bulanan untuk membeli baja dan racun, dia kini mempunyai lebih 100 pokok durian, selain manggis, duku, cempedak, langsat, limau kasturi, petai dan pelbagai tanaman kontan lain.

“Awalnya saiz tanah cuma tiga ekar (1.2 hektar), tetapi selepas mendapat dana Projek Baik Pulih Dusun daripada Pejabat Pertanian Jelebu, kawasan kebun dibersihkan sehingga seluas hampir 12 ekar (4.8 hektar).

“Walaupun mendapat permintaan tinggi dalam kalangan kenalan supaya mengkomersialkan dusun dengan cara mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu makan durian di sini, saya tidak terfikir ke arah itu kerana terlalu sayangkan dusun ini,” katanya.

Menurut Mohd Shafee, dia lebih selesa menjual sendiri durian berkenaan kepada peraih kampung dengan menghantarnya kepada mereka sebelum dijual kepada peraih luar untuk pasaran Kuala Lumpur dan Selangor.

“Lagipun jual durian bukan sumber pendapatan utama saya sebaliknya hanya memenuhi hobi yang memberi kepuasan tidak ternilai apabila melihat semua hasil tanaman ini menjadi.

“Sebab itu, setiap hari saya hanya menjual 30 kilogram durian dengan harga sekilogram dijual kepada peraih hanya RM4 hingga RM5.50 atau bersamaan RM120 sehari,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, jumlah pendapatan itu bukan tetap setiap hari, malah jauh lebih rendah berbanding kos yang ditanggung untuk mengusahakan durian sepanjang tahun.

“Jika dihitung, kos untuk baja dan racun setahun saja lebih RM500 tidak termasuk kos tenaga kerja dan sistem pengairan dan perparitan yang sempurna untuk meningkatkan hasil buah.

“Tetapi mungkin disebabkan niat asal bukan untuk berniaga, saya tidak kisah semua itu asalkan dusun ini subur pada musimnya setiap tahun yang menjadi tempat saya mengumpulkan keluarga serta sahabat handai untuk menikmati hasilnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2016 @ 6:19am
d