mutakhir

Makmal dadah Geng 24

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Dua makmal memproses dadah dan sebuah stor penyimpanan adalah antara yang digempur Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dalam serbuan di Shah Alam, Klang dan Banting, kelmarin.

Dalam operasi tiga jam bermula jam 12.50 tengah hari itu, seorang remaja berusia 17 tahun dikenal pasti ahli sindiket pengedaran dadah ditahan bersama 13 individu lain.

Semua lelaki tempatan berusia antara 17 dan 40 tahun itu dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 dan dikenal pasti terbabit secara langsung dalam aktiviti pengedaran serta pemprosesan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, hasil serbuan, polis merampas heroin dan syabu dianggarkan bernilai RM600,000.

Katanya, polis berjaya merampas 13 kilogram (kg) heroin, heroin base (dua kg), syabu (200 gram), cecair bahan syabu (7.5 kg) dan 129 kafein bersama peralatan memproses dadah.

“Dalam serbuan ini, kami menemui pelbagai bahan kimia dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah.

“Polis turut menyita harta milik sindiket dianggarkan bernilai RM1 juta seperti 13 kenderaan mewah, dua lori, barang kemas dan wang tunai RM30,430,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Menurutnya, suspek ditahan reman sehingga 25 Ogos dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mokhtar berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam sebelum pihaknya melakukan risikan dan siasatan.

“Pembabitan masyarakat dalam menyalurkan maklumat dialu-alukan untuk tindakan segera membanteras kegiatan ini terus berleluasa,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2016 @ 6:36am
d