mutakhir

Lari dapat kereta

Oleh Nursyahirah Marzuki

Cyberjaya: “Saya sudah banyak menyertai acara larian namun tidak pernah bernasib baik memenangi cabutan bertuah. Namun, kali ini berbeza kerana saya berjaya memandu pulang sebuah kereta Proton Iriz,” kata pemenang cabutan bertuah Larian myBuddies #sehatisejiwa, Mohd Zaidi Muhammad, 34.

Dia yang bertugas sebagai penolong jurutera di sebuah stesen televisyen berkata, sebaik sahaja keluar dari rumah, dia memasang niat untuk memiliki kereta Proton Iriz dan ia di luar jangkaan apabila nombor cabutannya diumumkan pemenang hadiah utama.

Menurutnya, dia akui terkejut dan gembira kerana sebelum ini hanya memasang angan-angan untuk memenangi hadiah cabutan bertuah pada setiap larian yang disertainya.

“Terima kasih kepada MyNIC kerana menganjurkan program sebegini kerana ia bukan sekadar program larian sahaja, tetapi peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah,” katanya ketika ditemui selepas menerima kereta berkenaan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi MyNIC Datuk Bridget Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif MyNIC Hasnul Fadhly Hasan.

MyBuddies Run #sehatisejiwa yang dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 itu dimeriahkan dengan acara larian sejauh tiga kilometer, lima kilometer dan 10 kilometer dengan membawakan konsep larian bertopeng.

Acara larian bertopeng itu dianjurkan syarikat pendaftar laman sesawang, MyNIC dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia berjaya menghimpunkan peserta larian dari pelbagai kaum.

Disiarkan pada: August 22, 2016 @ 6:57am
d