mutakhir

'Durian runtuh' peraih luar

Jelebu: “Sebagai peraih luar, saya boleh katakan musim durian kali ini ibarat ‘durian runtuh’ kerana permintaan meningkat tetapi pengeluaran buah kurang menyebabkan harganya lebih tinggi berbanding musim durian lalu,” kata Ujang Ramali.

Menurutnya, setiap hari dia mampu mengutip tiga tan durian daripada peraih kampung di empat pusat pengumpulan durian di Kampung Chennah, Titi di sini yang boleh dikatakan antara lokasi dusun durian terbaik di negara ini.

Selain durian kampung yang dibeli pada harga antara RM4 hingga RM5 sekilogram, Ujang berkata, dia turut membeli durian jenis Musang King atau Raja Kunyit pada harga RM22 atau RM23 sekilogram.

“Saya akan datang ke Kampung Chennah setiap hari mengutip durian yang kemudian dijual kepada 12 peniaga durian sekitar Hulu Langat, Kuala Lumpur dan Puchong.

“Kebanyakan durian yang diambil sudah ditempah dan perlu dipastikan habis dijual dalam tempoh dua hari saja bagi menjaga kualiti dan keenakan rasanya,” katanya.

Katanya, durian yang dijual selepas dua hari selalunya akan mulai merekah dan kurang enak kerana ‘gas’ yang terkandung di dalamnya sudah hilang.

“Ini akan menyebabkan buah berair dan menjejaskan rasanya terutama buah jenis Musang King dan D101 yang lebih sensitif dan tidak tahan lama selepas gugur dari pokok.

“Sebab itulah jika dilihat di pasaran, buah baka kahwin ini dijual pada harga jauh lebih tinggi berbanding baka durian kampung untuk menampung kerugian buah yang rosak akibat tidak terjual,” katanya.

Tempoh pengeluaran durian pada tahun ini lebih lama apabila melebihi empat bulan berbanding hanya tiga bulan sebelum ini.

Keadaan itu berlaku berikutan fenomena El Nino sejak awal tahun hingga April lalu mengakibatkan musim buah durian mengalami tiga peringkat bermula awal Jun hingga November ini berbanding hanya dua peringkat sebelum ini.

Disiarkan pada: August 23, 2016 @ 5:25am
d