mutakhir

ZIMB kutip dana RM85,000

Kuala Lumpur: Projek amal Minggu Komuniti Global (GCW) yang menjadi acara tahunan Zurich Insurance Malaysia Berhad (ZIMB) berjaya mengutip dana RM85,000 dengan penganjuran sesi memasak di Menara Zurich, di sini.

Acara bermula jam 6 pagi itu membabitkan 300 kakitangan ZIMB yang ditugaskan menyediakan makanan dan minuman untuk dijual di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang.

Menariknya, kakitangan yang terbabit mendapat tunjuk ajar dari pakar kulinari iaitu Pop Up Dining KL iaitu Amanda Huang, Daniel Yap dan Miki Maria Lie.

Selepas itu, makanan yang disediakan seperti hidangan gourmet, pencuci mulut, pastri, makanan ringan, jus buah dan minuman tin dijual pada harga RM2 hingga RM20 di lokasi seperti Universiti Kuala Lumpur, Wisma Zelan, Wisma Selangor Dredging, Wisma Cosway, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Lion Tower.

Ketua Pegawai Eksekutif ZIMB, Philip Smith berkata, dia teruja dan bangga dengan komitmen serta kerjasama kumpulan ditunjukkan kakitangannya.

“Idea pelaksanaan GCW menarik kerana ia memberi peluang kepada kakitangan membuat perubahan khususnya dalam pembangunan kanak-kanak.

“Sebagai tambahan, Yayasan Z Zurich menyumbang dana tunai dan kini ia berjumlah RM170,000. Sumbangan itu menerusi program tanggungjawab korporat sosial (CSR) Eat Right to Play Right.

“Semua cawangan ZIMB di seluruh negara diminta mengadakan aktiviti amal ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Maklumat lanjut berkenaan aktiviti CSR boleh dilayari di laman sesawang www.zurich.com.my.

Disiarkan pada: August 23, 2016 @ 5:36am
d