mutakhir

Kedua-dua mangsa letupan gas belum sedar

Shah Alam: “Kami berharap kedua-duanya selamat dalam pembedahan itu.” Itu harapan keluarga suami isteri yang parah akibat letupan gas memasak yang bocor di rumah mereka di Taman Saga, Meru, kelmarin.

Kejadian jam 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Tan Bee Bee, 48, dan suaminya, Ee Kok Ming, 50, sedang menyiapkan yong taufu yang mahu dijual di gerai di sebuah premis menjual makanan di Klang Utama.

Adik Kok Ming, Ee Kok Ching berkata, kedua-dua mangsa masih tidak sedarkan diri dan masing-masing dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Saya dimaklumkan, abang mengalami kesan melecur 45 peratus di kaki, tangan dan muka manakala kakak ipar melecur 80 peratus di seluruh badannya.

“Kedua-duanya dijadualkan menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat,” katanya, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan letupan itu bukan saja memusnahkan hampir keseluruhan rumah teres dua tingkat berkenaan, malah lapan kediaman berdekatan turut mengalami kerosakan seperti keretakan pada dinding selain siling serta cermin tingkap pecah.

Tiga anak mangsa, Ee Wai Sin, 17, Ee Chee Hong, 13, dan Ee Chee Yong, 11, yang tidur di tingkat atas rumah bagaimanapun selamat.

Menurut Kok Ching, anak saudaranya itu kini tinggal bersama keluarga terdekat.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, semua anak mangsa masih bersedih dengan apa yang berlaku malah kerap bertanyakan mengenai keadaan ibu bapa mereka.

Disiarkan pada: August 23, 2016 @ 5:46am
d