mutakhir

Larian solo Pak Nasir masuki hari keempat

Alor Setar: Cuaca panas terik semalam tidak menghalang Pak Nasir atau Nasir Abas, 61, meneruskan larian solo bagi mencapai impiannya mencipta rekod berlari 500 kilometer (km) dari Alor Setar ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Anak sulungnya, Norrizan Nasir, 36, berkata, bapanya masih bertenaga walaupun masuk hari keempat (hari ini) dan mengalami banyak cabaran serta rintangan semalam.

Katanya, Pak Nasir mengalami sakit urat pada kaki kanan ketika berlari dari Padang Menora di Tasek Gelugor, Pulau Pinang menuju ke Jejawi.

“Dia hanya rasa sakit urat saja, tetapi masih boleh meneruskan larian walaupun nampak bengkak sikit pada kaki kanannya tetapi ia tidak mematahkan semangatnya untuk mencapai impiannya.

“Setiap 1 1/2 kilometer (km) perjalanan, abah minum 100 PLUS untuk membantunya memberi tenaga,” katanya.

Norrizan berkata, selain itu, antara cabaran dihadapi semalam adalah ketika sampai di Simpang Empat Tasek Mutiara, Pulau Pinang yang mana kawasan itu sibuk dengan kenderaan akibat jalan yang dibaiki menyebabkan ia dibuka satu lorong.

Katanya, mereka dan kenderaan mengiringi Pak Nasir mengekori di belakang sejauh 500 meter bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk.

“Kami memberi laluan kepada kenderaan lain walaupun abah terdedah dengan bahaya kerana banyak lori dan kereta lalu lalang di kawasan jalan yang sempit itu.

“Bagaimanapun, syukur abah selamat meneruskan lariannya dari Pulau Pinang menuju ke sempadan Perak di sini dan kami dijangka akan berhenti mungkin di Parit Buntar, Perak atau bermalam di Jejawi, Pulau Pinang sebelum meneruskan misi esok (hari ini),” katanya.

Katanya, mereka dijangka meneruskan larian ke Taiping, Perak esok (hari ini) dan disambut Persatuan Bekas Perajurit di daerah itu.

“Larian solo dilakukan abah kali ini hanya setakat jam 7 malam setiap hari dan berhenti rehat pada waktu malam berbanding larian yang dilakukannya sebelum ini.

“Adik ketiga saya, Norfadzeli, 29, akan turut berlari bersama abah dari Taiping ke Kuala Lumpur esok (hari ini),” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2016 @ 6:33am
d