mutakhir

Latih tukang masak dalam kalangan muassasah

Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) akan melatih tukang masak daripada pihak muassasah untuk memasak makanan kepada jemaah haji Malaysia menjelang hari wukuf yang dijangka pada 10 September depan.

Ini kerana pada ketika itu hanya pihak muassasah yang dibenarkan memasak makanan untuk jemaah, manakala pihak pengurusan katering TH hanya memantau.

Pengarah Operasi Katering Tanah Suci Adly Mohamed berkata, bagi memastikan jemaah Malaysia mendapat makanan bercita rasa Malaysia, cef dan kru daripada muassasah berkenaan akan mengikuti sesi latihan memasak selama tiga hari dengan tunjuk ajar TH.

“TH juga ada persetujuan dengan pihak muassasah untuk membeli rempah daripada kami kerana jemaah kita mungkin tidak boleh selalu makan masakan tempatan.

“Tukang masak muassasah juga datang kepada TH untuk dilatih macam mana nak masak sambal dan sebagainya,” katanya kepada media ketika sesi lawatan ke dapur Al Wafa Catering & Services, di sini, semalam.

Al-Wafa adalah syarikat katering tempatan yang memberikan khidmat memasak makanan untuk jemaah haji di Tanah Suci.

Adly berkata, walaupun tidak memasak makanan menjelang wukuf, pihaknya tetap memantau dan memberi nasihat kepada muassasah selain memastikan pengagihan makanan kepada jemaah berjalan lancar.

Menurut beliau, seramai 32 tukang masak dibawa dari Malaysia untuk memasak makanan kepada jemaah haji sepanjang musim haji di Makkah dan Madinah.

Katanya, di Makkah, ada empat dapur yang digunakan untuk memasak makanan kepada lebih 20,000 jemaah haji Malaysia.

Disiarkan pada: August 24, 2016 @ 6:41am
d