mutakhir

Merayau mahu ke kebun sawit

Makkah: “Saya pernah bertemu seorang jemaah haji kita merayau-rayau sekitar kota Madinah dan apabila ditanya ke mana tujuannya dia memberitahu mahu ke kebun untuk memetik buah kelapa sawit,” kata Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Ustaz Ramli Ibrahim ketika menceritakan pengalamannya berkhidmat dengan Lembaga Tabung Haji (TH) di Tanah Suci sejak lima tahun lalu.

Ramli, 62, berkata, jemaah berkenaan juga asyik mencari isterinya walaupun isteri ada di sampingnya dan tingkah laku itu berterusan sehingga dia menaiki pesawat untuk pulang ke tanah air.

Dalam sesi perkongsian pengalaman petugas PIHTAS bersama media semalam, Ramli berkata, dia juga pernah berdepan dengan kes jemaah yang mengalami kejutan budaya yang mana apabila dia sampai ke Tanah Suci, dia seperti hilang tumpuan kepada ibadat.

“Ada yang rasa dia masih di tanah air sehingga tidak mahu tidur dengan teman dalam bilik. Dia sanggup tidur di lorong hotel hingga menimbulkan masalah kepada kami.

“Dia berasa dia masih di Malaysia. Bila kita minta dia masuk ke hotel dia enggan sebab tidak biasa tidur dalam bilik.

“Sebagai penyelesaiannya, kita bagi dia tidur dengan anak dan isterinya, namun dia masih tidak tidur atas katil dan apabila ditanya kepada isterinya barulah diberitahu bahawa itulah sikapnya di tanah air lagi,” katanya.

Ramli memberitahu beliau sendiri pernah melalui suasana yang menyentuh hati ketika bersolat di kawasan Raudhah dan makam Rasulullah SAW yang mana ketika imam membaca surah yang menyentuh mengenai keperibadian baginda.

“Apatah lagi ketika itu saya berada berhampiran perkuburan Nabi Muhammad SAW dan yakin baginda mendengar apa yang dibaca dan menuntut kefahaman daripada kita bahawa baginda seorang yang patut kita mengambil contoh,” katanya.

Selain itu, katanya, ada juga kisah lucu apabila ada jemaah yang membawa isteri tinggal sebilik dengan rakan lain menyebabkan rakan sebiliknya terpaksa keluar kerana segan untuk tinggal di bilik.

Katanya, ada kes suami isteri berselisih faham di Tanah Suci sehingga hampir bercerai dan selepas diselidiki didapati pasangan itu perlukan masa bersendirian untuk seketika.

“Sebagai penyelesaiannya kita memberi mereka bilik ‘berkat’ bagi memberi peluang kepada mereka bersama untuk beberapa ketika sebelum kembali ke bilik masing-masing dan akhirnya pasangan itu berbaik semula,” katanya.

PIHTAS wanita, Ustazah Yusnah Yusuf, 52, yang berkhidmat sejak 2006 pula bersyukur kerana mendapat tawaran setiap tahun untuk berkhidmat di Tanah Suci.

“Setiap kali dapat tawaran berkhidmat sebagai PIHTAS, saya tak pernah berhenti bersyukur sebab bukan senang dapat dijemput setiap tahun berkali-kali sebagaimana kita berdoa di akhir ketika tawaf Wada’ (selamat tinggal)...Ya Allah Kau jangan jadikan haji ku ini haji yang terakhir, Kau jemput aku datang lagi berkali-kali dalam keadaan aku sihat.

“Begitu juga di Arafah kita doakan yang sama. Doa itu tidak pernah lepas dari mulut saya setiap tahun.

“Menjadi petugas PIHTAS juga bukan tugas mudah. Saya masih ingat ketika tahun pertama saya pergi Muzakarah Haji dalam satu pembentangan kertas kerja, saya terdengar bahawa seseorang pembimbing bila dia berkhidmat ketika memberi keputusan dan hukum kepada jemaah sebelah kakinya di syurga dan sebelah lagi di neraka.

“Bukan mudah nak keluarkan sebarang hukum. Bila jemaah datang menanti jawapan adakah yang dia buat itu betul atau tidak, kita kena banyak fikir dan banyak merujuk, banyak beristighfar,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2016 @ 6:42am
d