mutakhir

'Aku nak mati!'

Oleh Fardy Bungga

Ampang: “Tembaklah! Bunuhlah aku cepat! Aku nak mati, aku dah penat hidup macam ini,” jerit seorang penagih dadah sebelum menghantuk kepalanya ke dinding dan pintu rumah.

Lelaki berusia 59 tahun itu bertindak agresif sejurus ditahan dalam operasi anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di AU2, Taman Keramat di sini, jam 8 pagi semalam.

Lelaki itu yang turut melaungkan kalimah syahadah gagal mengawal emosi sebelum menghantuk kepalanya ke pintu rumah hingga menyebabkan pintu itu pecah.

Bagaimanapun, suspek yang cuba membunuh diri itu sempat dihalang empat anggota AADK yang bertindak memeluknya beramai-ramai.

Lelaki terbabit dipercayai bertindak gila selepas tindakannya merayu anggota penguat kuasa melepaskannya tidak berjaya.

Dalam serbuan itu, lelaki terbabit ditahan bersama seorang lagi rakannya berusia 58 tahun yang dikesan muncul di lokasi yang kerap dikunjungi kumpulan penagih dadah di kawasan itu.

Ketika ditahan, lelaki terbabit mengaku datang ke kawasan berkenaan untuk bertemu rakan penagih lain.

Dia yang ditenangkan pihak AADK mengaku bergelumang dadah sejak berusia 28 tahun akibat terpengaruh dengan rakan sebaya.

“Saya pernah cuba berhenti menagih namun gagal walaupun pernah beberapa kali ditahan pihak berkuasa dan dimasukkan ke pusat pemulihan.

“Saya sudah tidak mampu menahan kesakitan kalau tidak mengambil dadah. Badan saya tidak sihat seperti dulu dan hanya menunggu waktu untuk mati,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, serbuan dilakukan berdasarkan aduan persatuan penduduk yang bimbang dengan kehadiran penagih dadah di kawasan perumahan mereka.

Katanya, hasil daripada risikan, kumpulan penagih terbabit gemar berkumpul di kawasan semak di belakang loji kumbahan untuk melepaskan gian.

“Hasil siasatan, kami mendapati seorang lelaki bertindak sebagai pengedar dadah kecil-kecilan datang ke kawasan berkenaan hampir setiap hari untuk menjual dadah.

“Kami mengenalpasti identiti suspek dan operasi memburu lelaki itu giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: August 24, 2016 @ 7:11am
d