mutakhir

Jalur Gemilang daripada 3,000 tempurung

Sungai Siput: Kira-kira 3,000 tempurung kelapa disusun pelajar dan kakitangan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Enggor, di sini, untuk merealisasikan Jalur Gemilang berbentuk peta Malaysia bagi menyertai pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan 2016 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Usaha murid dan kakitangan sekolah itu bermula seawal Januari lalu bagi mengumpul tempurung yang dipungut di kedai sekitar daerah berkenaan.

Menurut Ketua Projek, Rajen Palaniappan, 49, pada tahun lalu, pihaknya menyertai pertandingan sama dan memperoleh tempat ketiga dengan mencipta Jalur Gemilang menggunakan tin kosong.

“Pada tahun ini, pihak sekolah mensasarkan menjuarai dalam pertandingan kali ini.

“Kami berdepan dengan cabaran untuk mengumpul tempurung dalam kuantiti yang banyak bagi merealisasikan rekaan Jalur Gemilang berbentuk peta Malaysia itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, seramai 38 murid, 12 guru dan lima kakitangan sekolah bertungkus-lumus menyiapkan rekaan berkenaan sejak awal tahun ini.

Disiarkan pada: August 25, 2016 @ 6:45am
d