mutakhir

Lembu berenang

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Sekumpulan penyeludup sanggup menganiaya lembu yang dibawa masuk ke negara ini secara haram termasuk merisikokan nyawa ternakan itu semata-mata mengaut keuntungan berganda.

Ternakan berkenaan dipaksa berenang dalam Sungai Golok yang mempunyai kedalaman lebih 10 meter dekat kawasan Kuala Tat dengan hidung haiwan terbabit diikat tali sebelum ditarik menggunakan bot pancung penyeludup.

Itu adalah cara paling mudah mengangkut ternakan secara haram dari Thailand untuk pasaran tempatan, tanpa perlu memohon permit import sah dan melalui kuarantin yang ditetapkan.

Terbaru, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mematahkan aktiviti penyeludupan berkenaan dan merampas 10 lembu bernilai RM40,000 dalam serbuan di kawasan bendang di Kampung Bendang Pak Yong, di sini jam 5 pagi semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sebelum serbuan itu, Unit Risikan Marin (URM) melakukan risikan dan intipan darat selama empat jam.

“Kira-kira pada jam 4.30 pagi, anggota URM mengesan beberapa kelibat lelaki menarik lembu naik ke atas tebing menerusi teropong ‘night vision’.

“Kami percaya penyeludup terbabit bertindak lebih awal memandangkan jarak antara Sungai Golok dengan lokasi serbuan sekitar dua kilometer saja.

“Mereka menambat lembu di kawasan bendang sebelum anggota menyerbu lokasi. Bagaimanapun, individu berkenaan melarikan diri sebaik anggota memperkenalkan diri dan gagal dikesan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Ahmad Amri berkata, percaya ternakan itu untuk bekalan pasaran tempatan dan luar Kelantan sempena Aidiladha tiba tidak lama lagi.

“Semua lembu terbabit diseludup ke negara ini kerana harganya murah, selain menampung keperluan Aidiladha.

“Lembu dirampas dan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin, di sini sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011 atas kesalahan tiada permit import.

Disiarkan pada: August 25, 2016 @ 7:23am
d